BALIK PULAU : “Saya cuba masuk tiga kali untuk selamatkan ibu, abang dan adik namun gagal kerana asap terlalu tebal.”
Demikian cerita seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 29, yang hilang tiga ahli keluarganya dalam kebakaran membabitkan sebuah buah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, di sini awal pagi tadi.
Lebih menyedihkan, kebakaran itu juga telah meragut nyawa ibunya, Nurul Bowjiya, 58; abang Rashid iaitu Muhamad Ibrahim, 33, serta adik perempuannya Rahbiah Jasmin, 20.
Menceritakan kembali detik cemas itu, Rashid berkata, kebakaran itu berlaku dengan terlalu pantas dan ketika kejadian, dia, abang serta adik perempuannya berada di tingkat atas rumah kedai tersebut.
“Ibu saya berada di tingkat bawah ketika itu dan dia menjerit: ‘Asap!’. Saya dan abang kemudian terus turun ke tingkat bawah.
“Asap bermula dari depan kedai kami. Ibu cuba ambil air untuk padamkan api dan ketika itu, ibu sedar bahawa adik perempuan saya masih berada di tingkat atas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.

Menurut Rashid, sebaik sahaja menyedari adik perempuannya masih berada di tingkat atas, ibunya terus naik ke bahagian atas rumah itu untuk menyelamatkan adiknya.
“Selepas itu, abang saya turut naik bersama ibu. Saya turut cuba naik ke tingkat atas namun cubaan pertama, gagal. Saya cuba kali kedua, namun, asap tebal membuatkan saya batuk-batuk.
“Saya cuba lagi kali ketiga untuk naik selamatkan ibu, abang dan adik namun asap terlalu tebal sehingga saya hampir pitam,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai berhampiran sebuah bank di situ pada pukul 7.02 pagi.
“Ketiga-tiga mangsa ditemui oleh pihak bomba selepas api dipadamkan dan semua mangsa dilaporkan meninggal dunia. Mayat tiga beranak itu juga dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat,” katanya.-UTUSAN










