Kajian sumber manusia lengkapi fasiliti kesihatan - Utusan Malaysia

Kajian sumber manusia lengkapi fasiliti kesihatan

DR. Dzulkefly Ahmad ditemani Pengarah Hospital Baling, Dr. S. Selvanaayagam meninjau fasiliti hospital selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di Baling. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan kajian terperinci berkenaan perancangan sumber manusia yang dapat menepati pelan pembangunan fasiliti kesihatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kajian itu bagi memastikan fasiliti kesihatan yang dibangunkan kerajaan akan dilengkapi dengan doktor pakar, jururawat dan sistem sokongan sumber manusia yang lain.

“Keperluan kita yang penting adalah untuk meningkatkan jumlah doktor pakar. Selain itu, KKM turut melihat kepentingan menyediakan satu pasukan yang lengkap bagi memberi sokongan terbaik kepada setiap doktor pakar.

“Seorang pakar bedah misalnya, memerlukan pasukan jururawat dan lain-lain sumber manusia sokongan bagi memastikan sesebuah fasiliti dapat berfungsi dengan baik.

“Kita tidak mahu ada fasiliti dengan empat bilik pembedahan misalnya, tapi cuma satu atau dua daripadanya sahaja yang dapat dimaksimakan penggunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini, hari ini.

Dr. Dzulkefly mengulas keperluan lebih 28,000 doktor pakar menjelang tahun 2030 bagi memenuhi keperluan kemudahan kesihatan di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang untuk membangunkan banyak fasiliti kesihatan dengan kemudahan kepakaran.

“Dengan adanya kemudahan kepakaran di hospital daerah, maka trafik pesakit ini dapat dialihkan. Tumpuan kita pastinya adalah bagi memastikan adanya doktor pakar yang kekal di setiap fasiliti yang kita ada sekarang.

Sementara itu,bangunan tambahan Hospital Baling telah disiapkan pada 26 Februari lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM124.7 juta melibatkan sembilan bidang kepakaran.

Bangunan baharu itu akan mula beroperasi pada 10 Jun ini yang seterusnya meningkatkan kapasiti bilangan katil kepada 210 katil, empat dewan bedah, lapan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan katil Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU).

Klinik Kesihatan Kepala Batas pula siap sepenuhnya pada 29 Februari lalu melibatkan kos RM31 juta bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN