Jururawat anggap jemaah warga emas seperti ibu bapa sendiri

Jururawat anggap jemaah warga emas seperti ibu bapa sendiri

NOR Ainun (kiri) memberi penerangan kepada salah seorang jururawat yang bertugas sebagai petugas haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Bagi ketua jururawat Nor Ainun Muhammad, 48, setiap pesakit dalam kalangan jemaah haji warga emas tidak ubah seperti ibu bapanya sendiri.

Walaupun tidak mempunyai pertalian dengan mereka, tugasan dan amanah yang dipikul dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Malah dia pernah kehilangan seorang pesakit, seorang jemaah haji yang disifatkan umpama bapanya sendiri.

“Saya masih ingat lagi pada masa itu ada jemaah haji berumur 92 tahun dan dia antara yang paling tua. Dia mempunyai kecederaan patah paha, namun tetap bersemangat untuk menunaikan haji.

“Jadi sebagai jururawat sudah menjadi tugas saya menjaganya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Mekah. Namun, dia akhirnya meninggal dunia selepas beberapa hari melengkapkan semua rukun haji,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga pernah berdepan dengan seorang jemaah haji lelaki yang sering kali lupa.

“Ada satu ketika jemaah tersebut langsung tidak dapat mengingati yang dia sedang melaksanakan ibadah haji.

“Pada masa itu apa yang kami lakukan ialah meletakkan warga emas itu di Pusat Rawatan Madinah dan Mekah. Kamilah petugas perubatan dan kamilah keluarga dia pada masa itu, sehingga dia dapat menunaikan haji,” jelasnya.

Tambah Nor Ainun, cabaran menjadi jururawat ketika musim haji berbeza dengan tugasnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) .

“Kalau di Malaysia, kes kecemasan ada berbagai-bagai. Tetapi di sini banyak kes melibatkan pernafasan disebabkan suhu tinggi dan berdebu. Seperti kita tahu, jemaah haji kita pun ramai terdiri daripada orang tua.

“Justeru pesakit dan jemaah mudah mendapat simptom pernafasan seperti batuk sakit tekak dan selesema. Apabila tidak cepat dirawat, maka ia bertambah teruk,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Muhamad Tormizi Zakaria, 31, menyifatkan peluang kali pertama bertugas di Mekah sebagai pengalaman baharu yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

“Apabila dapat sahaja tawaran, saya tidak menyangka dipilih.Jadi ini peluang terbaik saya untuk berkhidmat membantu tetamu Allah SWT,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×