PUTRAJAYA : Penyanyi, Wani Kayrie mengakui kesal dengan sikap warganet yang melontarkan komen berbaur kebencian dan biadab terhadap selebriti tempatan yang disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 24, berkata, kecaman-kecaman itu menyebabkan ada dalam kalangan selebriti terpaksa mengeluarkan bukti melakukan kebaikan, sekali gus membuatkan mereka dilabel riak.
“Bagi saya, tindakan kutuk-mengutuk memang tidak baik. Apa yang kita cakap akan mencerminkan diri kita.
“Tak bermaksud tidak buat hantaran tak mendoakan atau derma sampai ada selebriti sanggup keluarkan resit buat sumbangan. Risau boleh jatuh riak.
“Tidak baik apabila sesama Islam kita melagakan. Blockout bagi pandangan saya adalah trend luar tetapi orang kita terlampau terikut sampai sanggup memaki hamun dan jatuh hukum,” katanya ketika ditemui semasa majlis sidang media Program Innovathon musim kedua terbitan Astro di sini, semalam.
Katanya lagi, warganet sepatutnya berhemah dalam mengeluarkan komen meskipun tujuan asal mereka adalah memberi teguran.
“Kita ada hak sama ada mahu buat hantaran atau tidak mahupun marah orang yang tidak berbuat demikian tetapi jangan sampai membenci, menghina dan mencaci.
“Ada orang tidak boleh terima tomahan kerana boleh makan mental sendiri dan ada orang jenis tidak kisah.
“Untuk saya, perbuatan tersebut boleh pecah belahkan manusia. Memang tidak patut dan kalau mahu tegur biarlah secara peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Wani juga berpendapat, artis juga mempunyai hak masing-masing dalam menjadikan platform mereka sebagai tempat menyuarakan isu Palestin.
“Secara peribadi saya fikir, semua manusia ada hak untuk memilih platform menyuarakan atau tidak tetapi sebagai umat Islam semestinya kita kena simpati dan berperikemanusiaan kepada saudara di sana.
“Rasanya tidak menjadi salah kalau kita buat hantaran atau tidak, banyak atau sedikit. Yang penting kita tahu apa kita pernah buat.
“Pilihan masing-masing untuk bertindak dengan cara apa sama ada derma atau doa sudah cukup baik,” kongsinya.
Sejak beberapa hari lalu, wujud kempen Blockout 2024 dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.










