Jalan diselubungi asap tebal dari pusat pelupusan sampah - Utusan Malaysia

Jalan diselubungi asap tebal dari pusat pelupusan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hujan yang turun di sekitar kawasan pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan yang terbakar di sini menyebabkan laluan jalan raya di situ diselubungi asap tebal tengah hari tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengguna jalan raya terpaksa menyalakan lampu dan memperlahankan kereta kerana jarak penglihatan yang terlalu terhad.

Seorang peniaga, Hanisah Shafie, 48, berkata, hujan yang bermula kira-kira 12.50 tengah hari tadi menyebabkan asap tebal berlaku selama hampir 20 minit.

Menurutnya, situasi itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh tersebut kerana berisiko menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Ada yang terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan kerana tidak mahu mengambil risiko memandu dalam asap tebal.

“Ini adalah kali pertama hujan turun sejak pusat pelupusan sampah ini terbakar pada 26 April lalu dan asap sangat tebal berbanding hari-hari biasa,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan pusat pelupusan sampah itu terbakar akibat cuaca terlalu panas membabitkan enam daripada lapan hektar kawasan tersebut.

Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, mendapati punca kebakaran lebih menjurus faktor semulajadi iaitu cuaca panas, selain sisa sampah menerima haba terlalu tinggi sehingga mencetuskan api yang marak.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Ahmad Rizal Hasan, 43, pula berkata, beliau terkejut apabila mendapati asap terlalu tebal berbanding kebiasaan setelah memasuki Kampung Gemuruh.

“Ini memang laluan saya berulang alik ke bandar Kuala Terengganu setiap hari dan sejak kebakaran berlaku memang perlu berhati-hati ketika menggunakan laluan ini.

“Cuma keadaan sangat berbeza ketika hujan tadi kerana memang tak nampak apa-apa, kiri dan kanan warna putih sahaja, terpaksa berhenti sekejap di tepi jalan hingga asap reda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN