KUALA SELANGOR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang wanita yang meninggalkan empat anaknya di sebuah rumah di sekitar daerah ini, tahun lalu.
Pelindung Kanak-Kanak JKM Kuala Selangor, Munira Abd. Aziz berkata, wanita warga Indonesia dikenali sebagai Nur Syida itu meninggalkan semua kanak-kanak berkenaan kepada seorang lelaki pada 17 Januari.
“Empat beradik masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan itu berusia lima hingga 12 tahun. Ibu kandung mereka menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas beliau, pihaknya mencari wanita itu bagi urusan pendaftaran dokumen dan penempatan kanak-kanak tersebut.
“Kes yang dirujuk kepada pihak kami pada 11 Mac lalu disiasat mengikut peruntukan Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001. Semua kanak-kanak itu kini ditempatkan dalam jagaan sementara orang yang layak dan sesuai sehingga 20 Mei ini,” ujarnya.
Tambah Munira, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu wanita itu boleh menghubungi pihaknya di talian 03-32891495. – UTUSAN











