Ia mungkin orang lain - Peguam - Utusan Malaysia

Ia mungkin orang lain – Peguam

AVITAN Shalom diiringi anggota polis yang lengkap bersenjata semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Avitan Shalom atau Shalom Avitan?

Pihak pembelaan yang mewakili lelaki Israel yang berasal daripada itu hari ini membangkitkan isu identiti anak guamnya yang didakwa berbeza dengan individu yang dinamakan dalam kertas pertuduhan.

Menurut peguam bela, Navinjit Singh nama anak guamnya ialah Shalom Avitan dan bukannya Avitan Shalom sebagaimana dalam pertuduhan.

“Ketika tertuduh memasuki negara ini, dia menggunakan pasport Perancis dan nama yang dinyatakan dalam pasport tersebut ialah `Shalom Avitan’. Kami telah bangkitkan isu ini pada prosiding sebelum ini tetapi ia masih kekal sehingga sekarang. `Avitan Shalom’ mungkin orang lain,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam kemudian menyatakan perbezaan tersebut adalah lebih kepada cara penggunaan `nama keluarga (surname)’ dan nama yang diberi (given name).

“Bergantung kepada bidang kuasa sesebuah negara, nama keluarga akan digunakan sebagai nama pertama (first name) dan ada yang menggunakan `given name’ sebagai `first name’. Bagaimanapun, kita masih lagi merujuk kepada dokumen yang sama. Adakah (pembelaan) mempertikaikan identiti tertuduh sekarang,” kata Mohamad Mustaffa.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk menukar nama ‘Avitan Shalom’ kepada ‘Shalom Avitan’.

Navinjit kemudian bangkit dan menyatakan menurutnya bidang kuasa di negara ini menggunakan kaedah nama diberi (given name) disebut dahulu dan nama keluarga (surname) disebut kemudian.

“Nama saya ialah Navinjit Singh, saya tidak boleh dipanggil Singh,”ujarnya.

Selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat, Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainol Abidin memberitahu mahkamah mengambil maklum isu yang dibangkitkan pihak pembelaan dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara itu di akhir perbicaraan kes.

Pada prosiding hari ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama sembilan hari bermula 30 September ini.

Pihak pendakwaan memaklumkan, pihaknya akan memanggil 20 orang saksi untuk memberi keterangan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×