KUALA LUMPUR: Kedua-dua pesawat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan AS 555 SN Fennec yang terbabit dalam nahas udara yang meragut 10 nyawa mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh digunakan lagi.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, bangkai kedua-dua pesawat itu masih berada di Markas TLDM dan tidak boleh diperbaiki.
“Ia beyond repaired dan tentu sekali AW139 ini helikopter baharu yang berpangkalan di Kota Kinabalu., Sabah.
“Kita ada tiga pesawat baharu yang kita peroleh tetapi satu sudah terbabit nahas dan tinggal dua sahaja yang beroperasi,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengenai pesawat Fennec, beliau berkata, TLDM kini mempunyai empat pesawat yang boleh beroperasi.
Beliau berkata TLDM akan mengambil tindakan untuk berikutan kehilangan pesawat tragedi itu termasuk mendapat aset baharu.
“Ia melalui perolehan terus ataupun sewaan (pesawat),” katanya.
Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec terkorban, selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. – UTUSAN










