TELUK INTAN: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan Perdana Menteri semalam sangat penting untuk dilaksanakan bagi membetulkan kesilapan sebelum ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan dahulu setiap tahun berbelanja hampir RM80 bilion untuk subsidi diesel tetapi yang menikmatinay termasuk 3.8 juta pekerja dan warga asing yang tidak membayar dan mereka yang kaya raya.
Beliau berkata, selain itu setiap hari lebih tiga juta liter diesel subsidi diseludup keluar oleh sindiket-sindiket, menyebabkan negara menanggung kerugian lebih RM2 bilion setahun.
“Apabila kita sasarkan penjimatan RM4 bilion setahun daripada penyasaran subsidi diesel ini, duit itu kerajaan akan pakai untuk berikan bantuan kepada rakyat dan membina kemudahan asas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar SJK (T) Parlimen Teluk Intan di sini hari ini.
Menurutnya, oleh itu adalah penting reformasi penyasaran subsidi diesel itu disokong oleh rakyat bagi mengatasi ketirisan yang berlaku.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan kerajaan sudah membuat perkiraan risiko mengenainya.
Katanya, subsidi diesel bersasar itu hanya terpakai di Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah dan Sawarak.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat di Sabah dan Sarawak yang kebanyakan mereka malah hampir semua kenderaan menggunakan diesel.
“Walaupun diesel bersubsidi ini disasarkan, bantuan tetap diberikan kepada pemilik-pemilik kenderaan diesel, mereka akan menerima elaun setiap bulan, maka dia tidak membawa kesan banyak,” katanya. – UTUSAN










