KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamzah Zainudin mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke pasar-pasar basah bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit rakyat.
Ketua pembangkang itu berkata, Perdana Menteri perlu melihat sendiri kenaikan harga barang ketika ini dan selepas rasionalisasi subsidi diesel yang mahu diteruskan kerajaan.
“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan sebuah akhbar. Harga cili padi naik ke RM28 sekilogram berbanding RM18 sebelum ini.
“Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah dalam masa yang sama turut berkata, tindakan Anwar itu juga turut tidak mengambil kira bebanan yang dihadapi rakyat selepas merancang memotong subsidi minyak diesel yang akan memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.
“Yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.
“Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.
“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari ‘kais pagi, makan pagi’ mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya,” katanya.
Anwar sebelum mengumumkan bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel dengan pelaksanaannya tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.
Pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.
Langkah itu bakal memberi penjimatan RM4 billion setahun yang akan digunakan untuk faedah rakyat. –UTUSAN










