SHAH ALAM: Sentiasa bersabar dan memahiri ilmu teknologi maklumat (IT) menjadi resepi Sholehuddin Kayat, 70, dalam mendidik murid masa kini yang disifatkan penuh cabaran.
Menurut penerima anugerah Tokoh Guru Lelaki Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Tahun 2024 itu, murid-murid hari ini sudah pun terdedah dengan dunia IT ketika zaman muda dan menerima pelbagai maklumat.
Justeru, beliau berpesan, selain mendidik, guru juga perlu membimbing segala maklumat dan pengetahuan yang dimiliki supaya mereka dapat menerima dan memahami pembelajaran dengan baik.
“Saya nasihatkan guru-guru hari ini untuk bersabar dengan kerenah pelajar kerana golongan muda masa kini pengaruhnya begitu hebat. Pengaruh luar zaman IT ini sungguh mencabar.
“Menyampaikan ilmu itu mudah, tetapi untuk menghayati ilmu lebih berkesan kepada anak-anak agak sukar lebih-lebih lagi dengan cabaran masa kini. Saya nasihatkan guru-guru menggunakan teknologi yang ada sebaiknya dan sentiasa mendoakan pelajar-pelajar tekun menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIS 2024, hari ini.
Terdahulu Sholehuddin dinobat sebagai Tokoh Guru Lelaki JAIS 2024 dan berpengalaman mengajar di Sekolah Menengah Agama Tinggi Sultan Hisamuddin Klang serta beberapa sekolah lain termasuk sebagai pensyarah di institusi-institusi di bawah JAIS.
Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Guru Perempuan JAIS Tahun 2024, Mariani Toilan, 65, memberitahu mendidik bukanlah tugas yang mudah kerana ia memerlukan komitmen tinggi dan tidak berbelah bahagi.
“Anak-anak hari ini mahir dengan gajet maka guru-guru pun perlu mahir dalam bidang IT sebagaimana tema hari guru, Guru Jauhari Digital. Jika guru tidak faham dengan dunia IT mereka perlu belajar.
“Guru perlu terus belajar dan belajar kerana kita ingin memberi ilmu kepada anak-anak murid. Biar kita lebih mahir daripada mereka agar pembelajaran lebih berkesan,” ujarnya yang berasal dari Tanjong Karang.
Tambahnya, guru juga harus bergaul dengan masyarakat dan menonjol sebagai individu yang dihormati dan menjadi rujukan apabila diperlukan. – UTUSAN










