GRS tidak bincang kerjasama dengan pihak lain - Armizan

GRS tidak bincang kerjasama dengan pihak lain – Armizan

ARMIZAN Mohd. Ali (tengah) dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon fasa dua di Papar, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Tidak ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak selain daripada kerangka Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.

Itu jawapan diberikan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali mengenai hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang terbuka untuk bekerjasama dengan GRS di peringkat negeri Sabah.

“Dalam hubungan peribadi pihak tertentu, itu mungkin (ada berbincang) tetapi apa yang saya boleh yakinkan sebagai salah seorang ahli jawatankuasa GRS di peringkat pusat, tidak ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak selain daripada kerangka GRS-PH Plus.

“Itulah kerjasama yang kita ingin perkukuhkan pada masa ini,” katanya semasa mengulas tentang hasrat Pejuang untuk bekerjasama dengan GRS menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar itu berkata, perbincangan tentang kerjasama bersama pihak lain termasuk Pejuang tidak berbangkit dalam mana-mana mesyuarat di peringkat parti.

Kata beliau, sebagai sebuah gabungan yang mempunyai pelbagai parti komponen, sebarang bentuk kerjasama perlu dibincangkan seperti dilakukan sekarang.

Menurut Armizan, komitmen GRS pada masa ini adalah untuk memperkukuh kerjasama antara GRS-PH Plus.

“Sebarang cadangan lain tidak boleh mana-mana individu di peringkat GRS untuk memberi pandangan (peribadi), ia perlu mendapat persetujuan GRS-PH Plus. Itu kerangka kerjasama sedia ada yang telah bersama-sama membentuk kerajaan pada masa ini.

“Kita bersyukur sekurang-kurangnya dengan kenyataan daripada pihak tertentu, saya melihat (hasrat parti lain) sebagai satu pengiktirafan kepada keyakinan mereka terhadap GRS dalam memimpin kerajaan di peringkat negeri.

“Kalau orang tidak yakin..tidak akan ada nafsu untuk bekerjasama dengan kita, saya melihat itu sebagai sesuatu yang positif,” katanya.

Sabtu lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan, Pejuang menyimpan hasrat bekerjasama dengan parti tempatan termasuk GRS menjelang PRN Sabah.

Beliau berkata, pertemuan secara tidak rasmi bersama pemimpin parti-parti tempatan juga telah dilakukan sebelum ini, namun perbincangan secara rasmi belum dilakukan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN