PETALING JAYA: Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) yang baharu diperkenalkan tidak menyekat penghasilan filem kritis sebaliknya panduan itu bersifat lebih komprehensif, relevan dengan kehendak semasa dan memberi panduan jelas kepada penggiat industri filem.
Ketua Pusat Pengajian Media Massa, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, karyawan filem akan terus mempunyai ruang menghasilkan filem yang kritis terhadap pihak berkuasa seperti filem Sheriff, asalkan tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).
“GPPF menyediakan panduan jelas apa batasan yang perlu diambil kira karyawan filem. Contohnya, plot filem perlu ada penyudah yang tidak memenangkan kejahatan atau menggambarkan penjahat sebagai wira.
“Selagi mana panduan ini dipatuhi dan tiada pelanggaran undang-undang, karyawan filem mempunyai lesen kreatif mengkritik autoriti melalui wadah filem,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
GPPF yang baharu diperkenalkan kerajaan bertujuan membantu penggiat seni dan pembuat filem tempatan untuk menghasilkan karya lebih berkualiti tanpa membataskan kemahiran dan kreativiti mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, GPPF melalui penambahbaikan daripada garis panduan terdahulu menggariskan tiga teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.
Selain itu, Ahmad Farami selaku ahli akademik dan Ahli Jawatankuasa Editorial GPPF berkata, panduan tersebut tidak menyekat kebebasan bersuara atau kreativiti apabila penggiat industri filem tetap boleh menghasilkan filem bermutu dan berseni.
“Idea kritis dan progresif tetap boleh disampaikan melalui wadah filem. Namun, setiap karyawan filem menggalas tanggungjawab sosial dan harus cakna norma etika tempatan apabila berkarya.
“Ini penting bukan sahaja demi kepentingan awam, malah memelihara kepentingan penggiat industri apabila filem dapat diterima masyarakat. GPPF bertindak sebagai pendaya (enabler) yang dapat menyokong proses penghasilan filem.
“Arahan tapisan atau penggubahan filem juga dapat diminimumkan sekiranya karyawan filem merujuk GPPF pada tahap praproduksi sekali gus memudahkan proses berkarya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, beliau menyarankan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap filem-filem yang membuat kritikan membina tanpa melibatkan isu 3R.
“Kita perlu membuat perubahan kecil berdasarkan kritikan tersebut dengan membuka ruang untuk mengadakan perdebatan antara kedua pihak dan tidak perlu memberi amaran kepada pengkritik.
“Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) atau syarat dalam penghasilan filem hanya untuk meluaskan minda bagi membolehkan kewujudan perbincangan secara holistik.
“Jika kerajaan selalu bersikap mempertahankan diri terhadap pengkritik melalui penghasilan filem, maka ia akan memperlihat negara ini lemah dari sudut demokrasi,” katanya. – UTUSAN









