Geng Capang aktif pecah pejabat kerajaan, sekolah tumpas - Utusan Malaysia

Geng Capang aktif pecah pejabat kerajaan, sekolah tumpas

FISOL Salleh (dua kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas daripada Geng Capang dalam sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis berjaya menumpaskan Geng Capang yang aktif melakukan pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan Perak sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejayaan itu hasil operasi Op Capang yang menahan 11 ahli geng tersebut di empat lokasi di negeri ini dan Perak pada kelmarin.

Katanya, mereka terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun yang berasal dari Baling, dekat sini.

“Kebanyakan mereka mempunyai talian persaudaraan dan dengan tertangkapnya kumpulan itu, kita percaya telah menyelesaikan 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah serta dua kes di Perak.

“Mereka akan memasuki kawasan sekolah atau pejabat kerajaan pada awal pagi dengan cara memotong pagar belakang. Antara barangan yang disasar adalah komputer riba serta tablet milik kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.  

Kata beliau, kumpulan itu menjadikan pejabat kerajaan serta sekolah sebagai sasaran kerana menganggap lokasi tersebut sebagai sasaran mudah.

“Kedua-dua lokasi itu pada awal pagi sudah tentu tidak berpenghuni dan dalam keadaan pengawal kebanyakannya berada di depan, mereka masuk melalui bahagian belakang,” ujarnya.

Menurutnya, sejumlah barangan turut dirampas dalam operasi itu antaranya 20 telefon bimbit, enam tablet, tiga kamera, 10 beg sandang, tiga buah kereta dan pelbagai peralatan pecah rumah.  

“Ujian saringan air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua suspek direman sehingga 25 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×