Forum Biodiversiti 2024 fokus pemuliharaan dalam ladang sawit

Forum Biodiversiti 2024 fokus pemuliharaan dalam ladang sawit

Mat Zaidi Mohd. Karli (dua dari kiri) dan Johari Ghani (tiga dari kiri) bersama buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar yang diperkenalkan sempena Forum Biodiversiti di Genting Highlands semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Forum Biodiversiti 2024 menekankan kepentingan melindungi tiga spesies iaitu orang utan, Harimau Malaya dan gajah pygmy Borneo sebagai komitmen memulihara biodiversiti negara terutamanya dalam ladang sawit.

Pengerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli berkata, industri minyak sawit boleh memainkan peranan penting dalam memulihara biodiversiti, melindungi ekosistem dan menggalakkan pembangunan mampan.

Katanya, penglibatan industri minyak sawit dalam menangani isu pemuliharaan adalah penting atas beberapa sebab.

“Sebagai pemain utama dalam penggunaan tanah dan pengeluaran pertanian di negara ini, industri minyak sawit boleh mengurangkan kesan alam sekitar dan menyumbang kepada pemeliharaan habitat dan spesies kritikal dengan melibatkan diri secara aktif dalam usaha pemuliharaan.

“Inisiatif pemuliharaan membantu memastikan penanaman kelapa sawit dilaksanakan dengan cara yang mampan yang mengekalkan kesihatan ekosistem, kesuburan tanah dan kualiti air, sekali gus melindungi masa depan industri,” katanya dalam majlis perasmian Forum Biodiversiti 2024.

Forum itu dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Abdul Hadi Omar.

Katanya lagi, industri sawit juga mempunyai tanggungjawab untuk menghormati hak masyarakat tempatan, melindungi mata pencarian mereka dan memelihara warisan negara.

“Usaha pemuliharaan boleh membantu memupuk hubungan positif dengan komuniti dan menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.

Justeru, katanya, peraturan dan piawaian pensijilan yang semakin ketat memerlukan syarikat minyak sawit untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

“Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam projek dan inisiatif pemuliharaan, syarikat minyak sawit boleh memastikan pematuhan kepada peraturan dan piawaian, dengan itu meningkatkan reputasi dan akses pasaran mereka.

“Kerjasama antara MPOGCF dan syarikat minyak sawit dalam pelbagai projek menunjukkan komitmen industri untuk menangani cabaran pemuliharaannya, objektif forum ini adalah bagi memudahkan perkongsian pengetahuan dan penglibatan  dalam kalangan pemegang taruh yang pelbagai.

“Ini bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti, dengan mempamerkan kisah kejayaan dan memberi inspirasi.

“Melalui kerjasama, kita boleh berusaha ke arah masa depan yang mana biodiversiti dipelihara dan ekosistem berkembang maju,” katanya.

Forum ini yang juga dikenali sebagai Forum Bio-D 2024 berfungsi sebagai platform pertemuan penting untuk saintis pemuliharaan dan pakar kelestarian ladang termasuk penyelidik, pelajar, pendidik alam sekitar, pengamal dan pihak berkepentingan pemuliharaan yang lain.

Kira-kira 350 peserta fizikal dan 450 peserta lagi menyertai dalam talian, bersama-sama dengan perwakilan daripada lebih 50 syarikat dan lebih daripada 30 pembentang menyertai forum ini.

Forum ini juga menawarkan pelbagai acara sampingan, termasuk lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan Pusat Pemuliharaan Harimau Malaya di Lanchang.

Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti penanaman pokok bagi memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan sendiri usaha pemuliharaan dan melibatkan diri dengan pakar dalam bidang tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN