‘Filem ini boleh angkat atau hilangkan jenama Rosyam Nor itu’ - Utusan Malaysia

‘Filem ini boleh angkat atau hilangkan jenama Rosyam Nor itu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAI menonton tayangan filem Memoir Seorang Guru, saya melihat ramai yang mengesat pipi masing-masing selepas air mata membanjiri hati, perasaan dan suasana di pawagam. Filem ini benar meruntun jiwa.

Kita semua pernah menjadi seorang murid. Berjayanya kita hari ini juga bermula kerana seorang guru. Namun bukan sahaja penonton yang berteriak. Pelakonnya, Datuk Rosyam Nor juga mengesat air mata sendiri.

Apakah yang membuatkan seorang pelakon hebat seperti Rosyam Nor menangis? Adakah naskhah karya agung sasterawan, Allahyarham Azizi Abdullah itu berjaya diterjemahkan dengan sebaiknya? Hits mendapatkan Rosyam.

H: Saya rasa, ramai yang menangis selepas menonton filem baharu lakonan Rosyam, Memoir Seorang Guru. Rosyam pun nampaknya sampai sembab mata, terharu kerana naskhah ini berjaya dipanggungkan atau filem ini sendiri sememangnya meruntun jiwa?

R: Saya jarang sangat menangis menonton filem, apatah lagi lakonan sendiri kan. Sebenarnya saya terharu. Di set penggambaran, saya memang tak bercakap dengan pelakon-pelakon cilik itu semua. Saya jaga karakter Cikgu Sunan itu.

Saya mahu mereka takut dengan ‘Cikgu Sunan’. Bila sudah habis penggambaran dan akhirnya ditayangkan, saya terharu sebenarnya. Dengan cara saya dan kelas oleh Elly Suriaty, mereka hadir dengan lakonan yang cukup hebat.

H: Ini kali pertama Rosyam membawakan watak seorang guru? Apa yang membuatkan Rosyam terus menerima tawaran watak sebagai Cikgu Sunan ini?

R: Ya, sepanjang 39 tahun saya dalam industri seni, ini kali pertama saya bawa watak guru. Ini satu peranan  besar, mewakili guru-guru yang ada. Tetapi Cikgu Sunan ini ada karakter dan watak sendiri.

Apatah lagi, ini karya sasterawan tersohor, Allahyarham Azizi Abdullah. Peminatnya ramai, ini bukan karya biasa-biasa. Filem ini sebenarnya menakutkan saya. Tetapi, kami sudah beri yang terbaik.

Kami bekerja dengan bajet yang kecil, tak besar mana.  Masing-masing ada tanggungjawab sendiri apabila kita bekerja dengan produksi yang ekonominya kecil. Sebab itu soal bayaran semua saya letak tempat kedua.

H: Saya memetik kata-kata Rosyam, filem Memoir Seorang Guru ini menakutkan. Boleh jelaskan?

R: Hampir empat dekad saya dalam industri seni, pertama kali bawa watak guru yang diinspirasikan daripada sebuah naskhah agung karya  Allahyarham Azizi Abdullah. Mestilah saya ada rasa gugup itu.

Saya bayangkan, saya membawa ‘semangat’ semua guru dan bekas guru. Filem ini boleh mengangkat atau mungkin, menghilangkan nama Rosyam Nor dalam industri perfileman negara.

H: Selepas menonton tayangan filem tersebut, Rosyam berpuas hati? Ada keyakinan dalam diri?

R: Sebenarnya, saya sudah banyak kali diajak untuk menonton filem ini sebelum ditayangkan. Tetapi saya mahu tunggu tayangan perdana. Saya mahu rasa perasaan gementar, teruja dan ‘takut’ itu.

Tetapi sebagai seorang pelakon, saya tidak pernah berpuas hati dengan kerja saya. Bila menonton filem itu, dalam fikiran saya mungkin ada banyak lagi yang boleh diperbaiki. Tetapi itu fikiran sayalah.

H: Apa babak yang betul-betul menguji dan mungkin sehingga sekarang memberi kesan?

R: Babak seorang guru yang meminta maaf dan mencium tangan anak murid dia sendiri. Kenapa? Kena tonton. Babak itu menjadi perdebatan. Ada yang setuju dan ada yang tidak Tetapi anda tonton dan nilai sendiri.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN