Faktor bahasa sukarkan pelancong Thailand ke Malaysia

Faktor bahasa sukarkan pelancong Thailand ke Malaysia

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor mengadakan perbincangan bersama delegasi Thailand diketuai Somnuk Promkheaw (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebahagian besar rakyat Thailand yang tidak mahir berbahasa Inggeris atau Melayu menjadi antara faktor mereka tidak cenderung berkunjung ke Malaysia berbanding rakyat negara ini yang sering melancong ke sana.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, ia mungkin antara sebab kepada berlaku ketidakseimbangan dalam aspek jumlah kehadiran pelancong kedua-dua negara.

“Kita mengetahui bahawa kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand begitu ramai, sekitar 4.8 juta setahun, tetapi kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia agak kurang. Saya dimaklumkan sekitar 1.3 juta.  

“Pihak Thailand memaklumkan memang ada kesukaran kerana rakyat mereka agak sukar berbahasa Melayu dan Inggeris berbanding rakyat Malaysia yang lebih fasih berbahasa Inggeris dan ada yang turut menguasai bahasa Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menerima kunjungan hormat Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw yang turut mengadakan mesyuarat bersama delegasi Thailand.

Kata beliau, usaha meningkatkan jumlah pelancong Thailand ke negara ini perlu dilakukan segera melalui pelbagai aktiviti promosi dan penerangan lokasi menarik dalam negara terutama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025.

Sementara itu beliau berkata, perbincangan bagi memudahkan urusan kemasukan kenderaan perdagangan yang membawa barangan segar dari Thailand ke Malaysia turut dilakukan dalam pertemuan itu.

Namun, perkara yang dibangkitkan delegasi Thailand ada di antaranya tidak dapat diputuskan kerana tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sedia bawa isu itu ke peringkat lebih tinggi. Kita juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Sempadan antara Kedah dan Songhkla untuk menyelesaikan isu dibangkikan dalam sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan dan budaya.

“Akan ada satu lawatan balas daripada kerajaan negeri Kedah ke Songkhla dalam masa terdekat dan kita akan memohon wakil agensi Persekutuan turut serta bagi menyelesaikan isu di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Promkheaw turut menyatakan komitmen pihaknya dalam membantu Kedah dan Malaysia mempromosikan sektor pelancongan kepada rakyat Thailand terutama membabitkan penduduk di wilayah selatan.

Katanya, turut menjadi perhatian adalah isu pendaftaran perkahwinan pasangan dari Malaysia yang gagal didaftarkan di negara asal selepas proses pernikahan dilakukan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla.

“Hal ini menimbulkan masalah pada masa hadapan sekiranya pasangan terbabit mempunyai anak yang tiada sijil kelahiran sehingga menyukarkan mereka mendapat kewarganegaraan. Jadi, kita sedia membantu pasangan terbabit menyelesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN