JUJUR cakaplah ya, sepanjang Cik Bunga mengenali penyanyi Ernie Zakri ini, belum pernah lagi berdepan dengan perangai kurang memuaskan termasuk rakan-rakan industri seni lain.
Tak pasti adakah kerana Cik Bunga ini pengamal media maka dia berkelakuan baik supaya tiada cerita negatif dihebahkan atau bagaimana.
Namun, tak semena-mena, muncul pula cerita kurang enak menyentuh mengenai Ernie sampai ke telinga Cik Bunga.
Sesuatu yang menghairankan buat Cik Bunga. Kononnya, baru-baru ini, Ernie ada perjanjian dengan satu penganjur dan dia terlibat membuat persembahan.
Ernie hadir dengan memakai baju daripada sebuah jenama tempatan. Hari untuk ukur baju, Ernie mengeluh panjang.
Dia juga buat muka dan didakwa enggan buat soundcheck ketika diajak elok-elok oleh kru penganjur. Tiba hari persembahan, Ernie didakwa masih mencuka selain mempertikai baju tersebut belum dibaiki.
Sedangkan, dengarnya, dia cuba pun belum baju itu. Selepas buat persembahan, dia juga sekali lagi dikatakan tidak senyum dan buat muka tak kuasa bila orang ajak bergambar.
Salah seorang yang minta bergambar adalah peminat yang kini sudah menjadi bekas peminat.
Menurut sumber, jika Ernie tak selesa dengan apa-apa permintaan atau syarat dengan penganjur, dia dan pengurusan patut terus terang sahaja.
Jangan kerana tidak puas hati, orang sekeliling terkena tempias amarahnya. Dalam isu ini, Cik Bunga cubalah letak keyakinan Ernie mungkin kepenatan atau sedang tak sihat sewaktu persembahan.
Kadang kadang, bukan sengaja. Nama pun manusia, ada masa mood pun berubah ubah. Sekejap ceria, sekejap muram, sekejap sedih. Tak mengapalah. Nanti Cik Bunga tanyakan pada Ernie, apa sebenarnya berlaku.










