KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Erma Fatima tidak menerima mana-mana pelakon yang mempunyai rekod disiplin yang buruk untuk bekerja di bawah produksinya.
Katanya, pelakon jenis itu mendatangkan masalah dan menjadi beban kepada penerbit, pengarah dan kru penggambaran.
“Disiplin adalah perkara utama. Kalau itu tiada, seluruh produksi menanggung susah.
“Bagi pelakon yang ada masalah disiplin, tunggu sampai dia jadi baik, baru saya ambil dia (berlakon),” katanya yang mengulas tentang masalah disiplin dalam kalangan pelakon.
Kongsi Erma, menjadi kebiasaan bagi kebanyakan pelakon mempunyai masalah tersebut disebabkan status ‘bintang’ yang mereka junjung.
Namun katanya, status itu bukan tiket untuk pelakon berkenaan berlagak diva sehingga menyusahkan pihak lain yang bekerja dengan mereka.
“Apabila seseorang itu terkenal, berkemungkinan perangainya diva. Saya lahir sebagai pelakon, jadi saya tahu.
“Dia berada di atas, alami pula kejutan budaya. Pasti dia bersikap diva. Itu normal.
“Tapi setakat ini, saya belum hadap pelakon diva dan bermasalah,” sambungnya.










