KUALA LUMPUR: Selepas timbulnya kontroversi terhadap pempengaruh yang menjalinkan hubungan dengan suami orang, pelakon, Ashraf Muslim berpendapat tindakan itu sememangnya salah dan wajar untuk memperbetulkan niat perkahwinan terlebih dahulu.
Beliau yang kini sudah beristeri dua berkata, perkahwinan itu bukannya terjadi disebabkan cinta bersama manusia semata-mata malah perlu mengutamakan Maha Pencipta (Allah).
“Kalau kita tahu niat utama kita berkahwin kerana Allah, secara tidak langsung kita akan tahu peranan kita sebagai suami dan isteri.
“Tidak kisahlah jika kita beristeri dua, tiga atau sebagainya, kita sewajarnya perlu tahu tujuan utama kita berkahwin,” jelasnya selepas sidang media bagi drama teater Srikandi Empayar Melaka, di sini semalam.
Ditanya mengenai isu berkaitan curang dalam pasangan selebriti, beliau turut berpendapat bahawa perkara itu sebagai satu perkara yang biasa dan beliau turut pernah mengalami fasa-fasa sebegitu.
“Segala proses yang mereka lalui sebenarnya saya pun sudah lalui semua itu. Tetapi, anggaplah apa yang sudah berlaku itu sebagai dugaan kepada kita.
“Mungkin ini merupakan dugaan kepada mereka berdua untuk berubah dan menjadi lebih baik,” jelasnya.
Ashraf Muslim atau nama penuhnya Mohammad Ashraf Muslim, 42, dahulunya pernah berpoligami bersama Wan Sakinah Saburi dan disahkan menikah di Thailand pada 17 Julai 2013 sehingga difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Difahamkan, perkara ini terjadi kerana isteri pertamanya pada ketika itu tidak dikurniakan zuriat walaupun sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, selepas empat tahun bernikah, mereka dikurniakan anak lelaki, Anas Ashraf manakala bersama Wan Sakinah pula dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, Adam Ashraf dan Safiyyah Ashraf. – UTUSAN










