E-Invois untuk PMKS bermula 1 Julai 2025

E-Invois untuk PMKS bermula 1 Julai 2025

cukai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan, pelaksanaan e-Invois bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah mulai 1 Julai 2025 dan bukannya pada 1 Ogos depan.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos 2024 hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta.

Justeru, katanya, tiada keperluan pada masa ini untuk syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.

“Sehubungan dengan itu, PMKS boleh meneruskan perniagaan seperti amalan biasa dan tidak perlu mengeluarkan e-Invois mulai 1 Ogos 2024 ini.

“Secara amnya, pada peringkat awal pelaksanaan e-invois, tiada keperluan untuk mana-mana pembayar cukai mendapatkan e-Invois sebagai bukti bagi tujuan tuntutan perbelanjaan,” katanya hari ini.

Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan timbul atas kenyataan dikeluarkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang mendakwa PMKS perlu mengeluarkan e-Invois kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta mulai 1 Ogos 2024.

Menurut LHDN, bagi membantu dan memudahkan pengemukaan e-Invois ini, satu Portal MyInvois serta Sistem Point of Sales (POS) boleh digunakan secara percuma oleh PMKS untuk semua transaksi termasuk sebarang pindaan.

Katanya, pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois kepada PMKS, PMKS tidak perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan tetapi dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan.

Ia bermaksud e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada pihak LHDN dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya.

“PMKS juga hanya perlu mengisi enam daripada 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois dan maklumat lain akan dipraisi secara automatik.

“Dalam tempoh satu tahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois pada 1 Julai 2025, pihak LHDN akan mengambil pendekatan secara aktif dalam menjalankan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, LHDN brkata, bagi memastikan e-Invois dapat dilaksanakan secara berkesan, kegagalan mengeluarkan e-Invois merupakan satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

katanya, kadar penalti minimum yang boleh dikenakan adalah RM200 sehingga kadar maksimum RM20,000 dan pengenaan penalti adalah bergantung kepada setiap fakta kes.

“Walau bagaimanapun, HASiL akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada PMKS apabila bermulanya pelaksanaan penuh e-Invois nanti.

“Pelaksanaan e-Invois telah mengambil kira keperluan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)SST. Oleh itu, semua maklumat berkaitan SST dimasukkan sebagai medan data e-Invois dan tidak sepatutnya menyebabkan kenaikan harga barang dan peningkatan kos perniagaan PMKS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN