Dua bot nelayan Vietnam leka tangkap ikan ditahan - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan Vietnam leka tangkap ikan ditahan

SEBAHAGIAN daripada tekong dan kru dua bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM ketika menangkap ikan kira-kira 145 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perairan negara terus menjadi sasaran nelayan asing apabila dua bot Vietnam ditahan ketika sedang leka menangkap ikan kira-kira 145 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua bot nelayan Vietnam itu ditahan pukul 3.30 petang ketika menjalankan Op Naga Barat.

Beliau memberitahu, terdapat 18 tekong dan kru di bot berkenaan berusia 13 sehingga 63 tahun tanpa dokumen pengenalan diri dan tiada kebenaran melakukan aktiviti di perairan Malaysia.

Menurutnya, nilaian rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta termasuk dua buah bot, kelengkapan dan peralatan memancing, hasil laut serta minyak diesel.

“Ketika melaksanakan Op Naga Barat, pasukan peronda telah mengesan dua buat bot disyaki nelayan asing sedang leka menangkap ikan dan nengaut hasil laut negara.

“Mereka cuba melarikan diri ketika kita cuba menghampiri namun ketangkasan APMM berjaya menghalang tindakan itu dan hasil pemeriksaan terdapat 18 tekong dan kru warga Vietnam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Khairulanuar memberitahu, kesemua mereka tiada pengenalan diri atau kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,.

Tambahnya, Maritim Malaysia negeri Terengganu juga akan terus meningkatkan rondakan melalui Op Naga Barat bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ke perairan negara.

Katanya, nelayan asing terutama bot Vietnam semakin berani memasuki kawasan perairan Terengganu untuk mengaut keuntungan hasil laut seolah-olah mencabar pihak berkuasa.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan isu pencerobohan ini dan kita akan terus menggandakan usaha untuk menjaga kedaulatan perairan dan memulihara hasil laut negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN