Ditipu Felix Chong tawar kerja di Thailand gaji RM15,000

Ditipu Felix Chong tawar kerja di Thailand gaji RM15,000

DUA rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dari Myanmar selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang mangsa jenayah pemerdagangan manusia mendedahkan bahawa dia ditawarkan dengan gaji lumayan mencecah RM15,000 untuk bekerja hanya empat hari.

Walau bagaimanapun pemuda berasal dari Sarawak yang hanya mahu dikenali sebagai Low itu kemudian menyedari ditipu sejurus tiba di Bangkok, Thailand akhir tahun lepas.

“Segala-galanya bermula apabila saya mengenali seorang rakan Facebook bernama Felix Chong dan menawarkan pekerjaan di negara jiran itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dia dan seorang lagi mangsa perempuan dari Perak selamat tiba dari Bangkok di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini lewat malam tadi.

Mereka disambut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang bertindak melaksanakan misi pembebasan mangsa itu dari Myawaddy, Myanmar.

Mengulas lanjut, Low, 29, berkata, dia asalnya sudah bertugas di Singapura selama lebih enam tahun sebelum tertarik dengan tawaran kerja bergaji mewah di Thailand tahun lalu.

“Saya amat menyesal kerana sampai di sana, semua mangsa diculik samseng sindiket dan dibawa ke Myanmar pula untuk bekerja sebagai ejen penipuan panggilan,” jelasnya.

Setibanya di sana ujarnya, dia dikerahkan menjadi penipu atau scammer untuk pelaburan mata wang kripto global dengan sasaran khusus ke atas rakyat China di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, dia teruk diseksa petugas syarikat penipuan itu selama empat hari pertama kerana enggan mengikut arahan dan dikurung dalam bilik tanpa diberi makanan.

Low mendakwa hanya mendapat sedikit air kosong dan tidak pernah menerima upah yang ditetapkan sindiket tersebut berdasarkan peratusan jualan keseluruhan pada setiap bulan.

“Nasib namun menyebelahi saya dan seorang mangsa bernama Ting selepas enam bulan di sana apabila ditawarkan pembebasan dengan cuma perlu membayar tebusan,” dakwa Low.

Setiap mereka itu jelasnya, dikenakan melunaskan bayaran mencecah AS$2,000 (kira-kira RM9,500) dan mujur kebetulan ada sebuah badan kebajikan Buddha bersedia membantu.

Selepas itu katanya, dia dan Ting segera menghubungi MHO yang kemudiannya bergegas datang ke Myawaddy sebelum dibawa melintasi sempadan Thailand menuju ke Maesot.

Dari situ dua mangsa tersebut menaiki kereta MHO ke Bangkok untuk diserahkan kepada pihak imigresen Thailand bagi proses tahanan reman 14 hari sebelum dapat dibebaskan.

“Selepas ini saya akan cuba bantu MHO pula untuk menyedarkan rakan-rakan yang lain agar tidak terpedaya dengan helah tawaran janji kerja gaji menarik di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN