PUTRAJAYA: Selain berita gembira mengenai kenaikan gaji penjawat awam diumumkan Perdana Menteri hari ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga mahu kenaikan pencen pesara turut diambil kira.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pihaknya masih berharap satu kenaikan munasabah kepada pesara selepas kenaikan dua peratus dinikmati golongan itu dimansuhkan oleh keputusan mahkamah baru-baru ini.
Beliau berkata, kenaikan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu juga perlu mengambil kira golongan pencen di luar sana.
“Apabila pengumuman kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam, ini perlu juga dilihat dalam bentuk kenaikan pencen penjawat awam sama ada dalam bentuk pelarasan dan sebagainya.
“Cuepacs harap kerajaan dapat menimbang secara ihsan apakah kelayakan kepada mereka dan jika mereka layak, berilah sebaik mungkin.
“Kenaikan pencen ini juga penting memandangkan ia berada dalam keadaan kritikal dengan jumlah semasa yang semakin mengecil akibat kos sara hidup semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri mengenai pemakluman kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan akhir tahun ini, Adnan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman itu terutama kenaikan gaji melebihi 13 peratus.
“Ia akan menjadi kenaikan tertinggi dalam sejarah. Biarpun kajian belum selesai lagi namun, berharap kenaikan serta insentif lain dapat dimuktamadkan segera dan dirangkumkan dalam pakej SSPA itu.
“Pengumuman itu sudah tentu memberi kelegaan kepada anggota perkhidmatan awam dan ia menggambarkan keprihatinan kerajaan untuk memahami kedudukan gaji penjawat awam yang tidak disemak selepas 12 tahun,” katanya.
Katanya, beliau juga berharap penjawat awam dapat menterjemahkan peranan dan tugas masing-masing untuk memberikan tatakelola terbaik dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Ditanya sama ada masih ada lagi kemudahan atau insentif lain diperjuangkan Cuepacs untuk penjawat awam, Adnan berkata, ia masih dalam pertimbangan kerajaan dan akan dirangkum serta dimuktamadkan di bawah SSPA.
“Ia juga termasuk bentuk-bentuk elaun lain termasuk kenaikan pangkat dan sebagainya,” katanya.
Katanya, usaha dan komitmen tersebut merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang bekerja meletakkan negara pada landasan yang kukuh.-UTUSAN










