Cipta kontroversi? Bukan saya... - Utusan Malaysia

Cipta kontroversi? Bukan saya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang mengatakan, kalau tak terpalit kontroversi, bukan selebritilah namanya. Penyataan itu seolah-olah menggambarkan golongan artis, sama ada pelakon, penyanyi, pemuzik dan sebagainya, sukar lari daripada terpalit kontroversi.

Mungkin ada benarnya perkara itu. Kalau difikir semula, artis juga manusia biasa yang membuat kesilapan, sama ada disengajakan atau tidak. 

Cuma yang membezakan adalah golongan selebriti ini, terkenal. Gerak geri mereka diperhatikan. 

Pelakon, Amyra Rosli yang pada pandangan umum ‘bersih’ daripada kontroversi itu pun pernah terpalit cerita-cerita sensasi. Cuma namanya terlalu jarang dikaitkan. Kalau ada pun, tidaklah teruk sampai tergadai maruah dan kehormatan.

Dalam zaman manusia mengejar populariti pada masa sekarang ini, Amyra tetap memilih untuk menjauhi kontroversi. 

Pujian harus diberikan buat keluarganya, yang berjaya mendidik wanita ini menjadi manusia yang masih tahu menjaga kehormatan.

“Bukan mahu berlagak, konon saya ini tak ada kontroversi. Dulu iya, pernah ada. Itu pun saya kurangkan.

“Semua ini demi nama baik saya dan keluarga. Saya tak mahu air muka mereka jatuh disebabkan cerita-cerita tak cantik tentang saya.

“Jadi, ada sebab kenapa saya tidak terlalu menonjol, bekerja dengan niat hanya mahu mencari rezeki,” katanya yang ditemui ketika mempromosikan drama terbaru Bunga Salju, baru-baru ini.

Kata Amyra, bukan dirinya untuk mencari sensasi demi melonjak nama atau popularkan diri. Ibu dua cahaya mata ini berpegang pada kepercayaan, populariti tidak menjanjikan kelangsungan kerjaya dalam dunia seni.

“Andai kata kontroversi itu berlaku atas kesalahan sendiri, tentu saya minta maaf.

“Tapi untuk cetuskan (kontroversi), itu bukan saya. Ibu saya sentiasa ingatkan, kalau mencari rezeki, biarlah atas landasan yang betul. Kalau hanya mencari popular, nescaya tak ke mana-mana,” katanya.

BERLAPIK MUNGKIN BOLEH

Itu syarat yang diletakkan Amyra jika menjayakan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Katanya, sebagai isteri dan ibu, ada had yang perlu dia jaga lebih-lebih lagi apabila bersangkutan dengan lakonan bersama bukan mahram.

“Saya lega, ramai pengarah yang faham. Bahkan pengarah drama Bunga Salju lebih awal bertanya kepada saya tentang had yang saya letakkan ketika berlakon dengan lelaki.

“Saya akui, saya tidak sempurna dan masih memperbaiki diri. Sekiranya perlu bersentuhan dengan pelakon lelaki, harus berlapik. Itu syaratnya.  

“Tetapi, kalau membabitkan babak penculikan mungkin sukar untuk letakkan syarat sedemikian.

“Dan kalau boleh saya nak elakkan babak romantis yang tak sesuai dengan imej saya yang sudah berkeluarga,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN