Chegu Bard didakwa lagi, Papagomo turut ditahan

Chegu Bard didakwa lagi, Papagomo turut ditahan

BADRUL HISHAM Shaharin atau Chegu Bard tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, semalam, bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin, 45, dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam ini atas pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City dalam laman sosial Facebook miliknya, Jumaat lalu.

Tuduhan tersebut merupakan yang ketiga dihadapinya selepas didakwa atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rasidah Roslee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegu Bard didakwa membuat penerbitan menghasut dalam akaun Facebook bernama Chegu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Beliau didakwa di bawah Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Masri Mohd. Daud, Abdul Ghafar Ab. Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Turut mengikuti prosiding itu ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebagai peguam pemerhati dan memberi sokongan terhadap Chegu Bard.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan dengan seorang penjamin dan turut memohon perintah larangan dikenakan terhadap Chegu Bard supaya tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum dalam mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.

Namun, Muhammad Rafique menyifatkan cadangan jumlah jaminan itu sebagai terlalu tinggi, iaitu empat kali ganda daripada jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan tersebut.

“Anak guam juga dituduh semalam atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan jaminan ditetapkan pada RM10,000 dengan seorang penjamin. Jadi, adalah baik jika ia diseragamkan.

“Sementara itu, perintah larangan yang dimohon pula tidak khusus dan bersifat injuksi. Sebagai rakyat Malaysia, kita ada kebebasan bersuara secara terbuka mengikut undang-undang dan Perkara 10 Perlembagaan,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan turut menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Tarikh 24 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris atas kenyataan yang didakwa mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Razarudin memberitahu Utusan Malaysia, penahanan lelaki berkenaan di Setapak susulan laporan polis yang diterima berkaitan video berhubung dakwaan tersebut.

“Permohonan reman terhadap individu terbabit kini sedang dimohon dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKM 1998,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN