KUALA LUMPUR: Perbelanjaan modal (Capex) oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka meningkat bermula tahun hadapan susulan tahap permintaan yang semakin meningkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, dalam konteks operasi TNB, keperluan Capex ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan keputusan untuk penggunaan Capex itu dibuat setiap tiga tahun menerusi Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).
Kata beliau, ketika ini IBR yang ke-3 bermula pada tahun 2022 dan menjadikan tahun ini adalah yang terakhir.
“Pelaburan modal TNB untuk IBR ke-3 ini adalah sebanyak RM21 bilion atau RM7 bilion setahun dan sepanjang dua tahun lalu, kita memang menggunakan 100 peratus Capex dan pada tahun ketiga ini pun kita akan gunakan sepenuhnya baki lagi RM7 bilion ini.
“Dari sudut unjuran Capex, biasanya tertumpu kepada dua perkara utama iaitu pembekalan elektrik kepada pengguna baharu dan yang kedua, penambahbaikan untuk pastikan aset yang telah sampai usianya diganti yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan mengenai IBR ke-4 telah dimulakan dan sasaranya akan diputuskan sehingga akhir tahun ini.
“Ini kerana dijangkakan 2025 akan menjadi tempoh IBR baharu,” jelasnya.
Beliau menambah, dari sudut keperluan permintaan, terdapat permintaan penggunaan yang baik untuk negara selepas Covid-19.
“Jadi untuk tampung keperluan itu sendiri, kita sememangnya menjangkakan ada peningkatan dari Capex itu sendiri,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Megat Jalaluddin berkata, TNB sentiasa komited memberikan nilai terbaik dan proaktif untuk menambah baik amalan dalam pengurusan aset yang diamanahkan kepadanya.
“Melalui khidmat nasihat SPRM, dengan persetujuan pihak ST selaku pengawal selia, TNB dengan ini dapat mengambil langkah-langkah yang lebih jitu dalam pengurusan aset tenaga elektrik.
“Antara langkahnya ialah meningkatkan pengawasan CCTV secara bersasar di kawasan dikenalpasti terutama di Pencawang Masuk Utama (PMU), pemasangan ‘barrel lock’ pada kotak meter pengguna yang berisiko tinggi dan pemasangan sistem biometrik pada peti pembekal voltan rendah,” katanya. – UTUSAN








