KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara , Datuk Seri Siti Nurhaliza menyelar tindakan menghina, memaki dan memalukan selebriti tempatan yang tersenarai dalam gerakan #Blockout2024.
Jelas Siti Nurhaliza, tindakan seolah-olah menjatuhkan maruah para selebriti yang disenarai itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar dan jauh daripada ajaran Islam itu sendiri.
“Bagi saya, tidak baguslah cara tersebut. Dalam Islam kita diajar, jika mahu mengajar atau menegur orang mestilah ada adabnya.
“oleh buat sesuatu tetapi tidak perlu sampai memalukan dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Kita mahu buat perkara yang mempertahankan agama, jadi harus ikut cara agama kita. Seperti saya kata, tak suka boleh sekat dan diam,” ujar penyanyi tersebut ketika ditemui di majlis Mum2Mum Hi-Tea di sini semalam.
Kempen #Blockout2024 bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei pada masa sama serangan ke atas Rafah berlaku menyebabkan netizen membantah selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.
Gerakan yang dimulakan di Hollywood itu menular ke Malaysia apabila beberapa nama artis antaranya Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Janna Nick, Ruhainies, Mira Filzah, Daiyan Trisha, dan ramai lagi tersenarai.
Bagaimanapun, penyanyi Percayalah itu tidak mahu mengulas dan memberi sebarang komen terhadap beberapa nama selebriti tempatan yang tersenarai dalam kempen tersebut.
“Kempen ini adalah trend dari luar negara dan sekarang telah masuk ke Malaysia.
“Saya tidak mahu sentuh tentang artis lain sebab masing-masing mempunyai alasan dan sebab tersendiri,” kongsinya yang turut menyokong gerakan membokoit barangan dikaitkan dengan pro-Israel.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K akan terus mengembleng tenaga dan menyalurkan bantuan menerusi dana sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Sebagai orang Islam kita dituntut mempertahankan agama dan saudara Islam yang ditindas dengan kekejaman. Apa yang saya lakukan adalah salah satu usaha.
“Menerusi platform Yayasan Nurjiwa kami mempunyai kemampuan untuk salur bantuan ke Gaza. Itu saya dan suami cuba lakukan untuk agama dan jihad kita,” katanya.-UTUSAN










