Blockout2024: Akhirnya, kita menjatuhkan saudara Islam kita sendiri - Aznil Nawawi - Utusan Malaysia

Blockout2024: Akhirnya, kita menjatuhkan saudara Islam kita sendiri – Aznil Nawawi

aznil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Pada awalnya kita mahu jatuhkan Yahudi, tetapi akhirnya kita jatuhkan saudara mara Islam kita sendiri.”

Demikian luahan pengacara, Datuk Aznil Nawawi yang menganggap gerakan #Blockout2024 sebagai keterlaluan kerana dilihat lebih menjatuhkan nama seseorang matlamat asal untuk memberi kesedaran.

Jelasnya, gerakan tersebut lebih dilihat sebagai agenda menghasut yang disertakan dengan cacian, makian sekali gus bersifat menjatuhkan maruah sesama manusia.

“Syaitan kalau gagal menghasut untuk menjadi jahat, dia akan menghasut untuk kita kelihatan baik.

“Kita nak jahanamkan kaum Yahudi tetapi pada masa sama kita berpecah, syaitan sukalah situasi Islam berpecah belah,” ujarnya.

Pengacara popular itu berkata demikian menerusi satu perkongsian di Instagramnya baru-baru ini.

Kempen #Blockout2024 bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei pada masa sama serangan ke atas Rafah berlaku menyebabkan netizen membantah selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.

Gerakan yang dimulakan di Hollywood itu menular ke Malaysia apabila beberapa nama artis antaranya Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Janna Nick, Ruhainies, Mira Filzah, Daiyan Trisha, dan ramai lagi tersenarai.

Dalam perkongsian sama, Aznil turut menasihati segelintir warganet untuk tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum terutama kepada selebriti yang tersenarai dalam #Blockout2024.

“Apabila seseorang selebriti itu memuat naik tentang Palestin, janganlah mencemuh artis terbabit dengan perkataan ‘baru nak kongsi’.

“Sekurang-kurangnya dia kongsi juga isu kemanusiaan itu, bagus dia sedar mungkin akan dapat hidayah suatu hari nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN