PETALING JAYA: Pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bercanggah dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, Anwar sebelum ini memaklumkan tidak akan ada lagi rundingan terus untuk pemerolehan kerajaan.
Sehubungan itu, menurutnya, tidak ada alasan atau asas yang boleh diterima untuk mewajarkan anugerah DRT yang dilakukan secara perundingan terus.
“Kami terkejut dengan sikap Perdana Menteri yang berdiam diri mengenai perkara ini.
“Anwar seharusnya menjelaskan macam mana dan kenapa kontrak tersebut diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang ketua eksekutifnya (Ramachandran Muniandy) merupakan pasangan kepada Menteri Kabinetnya,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd merupakan salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.
Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Dalam pada itu, Sasha Lyna berkata, tindakan syarikat tersebut yang ingin mengambil tindakan undang-undang ke atas kritikan awam dan persoalan dibangkitkan tentang anugerah itu tidak wajar serta tidak boleh diterima.
“Orang ramai berhak meminta penjelasan mengenai perolehan kerajaan yang melibatkan perbelanjaan dana awam. Perbincangan ini adalah untuk kepentingan awam dan tidak boleh ditutup.
“Ia lebih besar daripada syarikat tersebut, ini melibatkan janji dibuat oleh Perdana Menteri dan gabungan politik yang membentuk kerajaan Persekutuan dan Selangor,” katanya. – UTUSAN










