Belum masanya tinggalkan dunia seni - Utusan Malaysia

Belum masanya tinggalkan dunia seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA ada berita gembira. Tak lama lagi Talita Love akan dapat adik! “

Membutang mata saya apabila mendengar khabar baik itu. Sambil tersenyum, segera ucapan tahniah diberikan kepada aktres ini sekaligus menyaksikan suasana di dalam bilik solek tempoh hari terisi penuh dengan tawa bahagia.

Sungguh. Sukar membuang rasa terkejut terutama apabila melihat bentuk badannya langsung tidak kelihatan seperti ibu yang sedang hamil. Kebetulan, cukup lama kami tidak bertemu mata.

Malah terbit rasa terharu di hati kerana Raja Ilya, memilih untuk membuka mulut mengenai perkara itu bersama Pancaindera dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di ibu pejabat Media Mulia baru-baru ini.

Boleh dikatakan, sesi fotografi ini berlaku dalam keadaan minit terakhir juga iaitu sehari sebelum Ilya mahu berangkat pulang ke Perth, Australia baru-baru ini.

“Cukup lama tak ambil mana-mana tawaran sesi fotografi. Rindu juga. Bukan tidak ada yang mempelawa, tetapi kebanyakannya kerana faktor masa yang tidak sesuai dan saya pula berada di Perth. 

“Ini pun dapat pulang ke tanah air selepas beberapa tahun tak balik. Jadi dapat peluang ‘balik kampung’ ini, memang saya manfaatkan bersama keluarga dan berjumpa rakan-rakan terdekat,”katanya.

Kongsi Ilya, semuanya berlaku secara kebetulan dan keberangkatannya pulang ke tanah air bagi menyambut lebaran lalu membolehkannya turut sama menghadiahkan berita gembira mengenai kehamilannya itu buat semua.

“Sebelum balik Malaysia nak sambut raya tempoh hari, saya sendiri pun tak jangka sedang hamil. Tiba-tiba tergerak hati hendak buat ujian kehamilan. Eh, memang tengah hamil rupanya.

“Sekarang ini sudah masuk empat bulan. Bila saya dan suami sampaikan berita gembira itu,semua ahli keluarga teruja. Kiranya sambutan hari raya tempoh hari di sini sangat meriah dan sempurnalah buat kami tahun ini,”katanya.

Bercerita lanjut, pelakon berusia 39 tahun ini mengakui, pada awalnya memang merancang untuk mempunyai seorang lagi anak sebelum dirinya berusia 40 tahun.

“Tak sangka Allah SWT kurniakan hajat kami ini pada waktu yang tepat. Syukur sangat. Cuma itulah, betul apa yang orang kata, pengalaman hamil ini berbeza-beza. Masa mengandungkan Talita, saya tidak alami alahan yang teruk.

“Kehamilan kali kedua ini agak mencabar sebab saya kerap sakit dan mual. Memang banyak baring dan tak lalu makan masa trimester pertama lalu. Bila masuk trimester kedua, ajaib, semua rasa itu hilang.

“Saya kembali normal dan elok pula masa nak balik Malaysia tempoh hari. Memang seronok dan sakanlah beraya, makan macam biasa,”katanya.

Jika bercakap mengenai zuriat, kata Ilya, kebiasaan, suaminya, Trent Garret, yang akan memilih dan menentukan nama anak.

Ia lebih memeningkan kepala kerana katanya, ada ketika senarai nama pilihannya kedengaran luar biasa.

“Ini pun kami pilih untuk tak mahu tengok jantina lagi dan tunggu bersalin nanti baru ada elemen kejutan itu. Saya ingat lagi, masa hamilkan Talita, macam-macam nama yang Trent pilih. Ada bunyi English, bunyi Itali pun ada. 

“Namun akhirnya kami pilih nama Talita yang bermaksud anak perempuan. Urusan pilih nama ini saya serahkan sahaja kepada Trent sebab dia lagi pandai letak nama yang sedap dan unik,”katanya.

Ditanya mengenai keadaannya sepanjang menetap di Perth, kongsi Ilya, dia tidak pernah berasa jauh dari kasih sayang sebuah keluarga kerana ibu Trent juga menetap tidak  jauh dari kediaman mereka.

“Saya tak pasti bagaimana orang lain. Tetapi, saya rasa beruntung kerana ibu mentua saya mengambil tanggungjawab untuk terlibat sama dalam rumah tangga kami. Macam penasihat sebab dia suka berkongsi.

“Sebagai sebahagian daripada keluarga, dia bersikap mengambil tahu dan itu bagus bagi saya. Biasanya, keluarga ‘mat salleh’ ini mereka jenis fikir ke hadapan. Bayangkan, untuk anak cucu pun dia dah siapkan akaun pelaburan untuk masa depan.

“Keluarga Trent pula memang begitu. Jadi, saya rasa bertuah sebab mentua selalu mengambil berat mengenai anak-anak dan cucu. Kita tidak berharap pun, dia sendiri yang nak buat demi keluarga. Saya tahu, semua itu demi kebaikan juga,”katanya.

Terpaksa jual rumah, kereta dan bisnes

Bertanyakan apakah  sebenarnya perancangan asal Ilya ketika dia mula membuat keputusan untuk berpindah ke Australia mengikut suami, pelakon ini mengakui, meninggalkan dunia lakonan bukan apa yang dihajati.

Kata Ilya, pada awalnya, setelah berbincang dengan suami, dia selesa memilih untuk berulang-alik dari Australia dan Malaysia sekiranya terdapat sebarang tawaran lakonan. 

“Memang tidak ada ‘plan’ pun hendak duduk sana terus sebab masa itu, saya masih ada kerja-kerja penerbitan, bisnes dan kerja lakon. Jadi banyak ulang-alik dan hanya mahu jadikan rumah di Australia sebagai tempat rehat sahaja.

“Tetapi lepas Covid-19, semua berubah. Masa Covid semua orang terjejas dan menyebabkan saya pun terpaksa buat beberapa keputusan penting. Saya terpaksa jual aset di sini. 

“Seperti rumah, kereta, bisnes termasuk perniagaan kafe Richiamo. Saya tak mampu nak bayar bulanan apatah lagi tak duduk di rumah itu dan tidak pakai kereta sebab saya berada di Australia,”katanya. 

Berikutan itu, katanya, dia dan suami terpaksa akur dengan situasi dan mengubah perancangan asal terutama apabila sekarang rezeki menimang anak kedua pula datang menerpa.

Bagaimanapun, kata Ilya, dia tetap akan meneruskan kecintaannya terhadap bidang lakonan kerana sehingga kini pun, masih ramai kenalan penerbit dan pengarah di ibu negara menghubungi dan menawarkan watak buatnya.

“Tak sangka, rupanya masih ramai yang mahu saya terbabit menjayakan naskhah drama atau filem mereka. Pendek kata ada saja yang tawarkan peluang itu cuma sekarang rasanya belum dapat buat sebab saya sedang hamil pula. 

“Kalau tiada aral, saya rancang, akan mula aktif semula selepas anak kedua saya lahir dan mencecah usia sekurang-kurangnya setahun. Bukan tolak rezeki, tetapi masa belum sesuai,”katanya. 

Masih dikecam gara-gara isu Marvel

Sengaja melayangkan pertanyaan kepadanya, sama ada masih ingatkah Ilya bagaimana dirinya dikecam teruk oleh warganet apabila dia membuat pendedahan mengenai kejayaannya melepasi ujibakat filem francais popular Hollywood, Marvel. 

Kalau tidak silap, isu itu tular sekitar tahun 2018. Menyorot kembali ke peristiwa itu, kata Ilya, pada waktu ini, sungguh, dia akui, sesal sepenuh hati kerana berkongsi mengenai perkara itu ketika itu.

“Memang pun, sampai sekarang, ada sahaja orang yang komen di Instagram saya dan menyebut atau menyindir mengenai isu Marvel itu. Kalau ditanya, ya, saya menyesal. 

“Menyesal kerana buat pendedahan itu masa itu. Iyalah, darah muda kan. Semua benda masa itu mahu dikongsikan. Saya buat penjelasan semula dalam satu hantaran di Instagram kemudiannya, tetapi tetap kena hentam.

“Selain isu ujibakat Marvel saya juga ada buat penjelasan mengenai isu satu projek lakonan dengan Kajol. Benda betul, saya jelaskan dengan niat sekadar kongsikan perkara baik.

“Orang cakap saya tipulah,itu dan ini. Asalnya nak kongsi sesuatu yang positif tetapi terbalik, ia jadi negatif pula,”katanya.

Mengakui ketika itu dirinya turut berasa tertekan, kata Ilya, bagaimanapun semua itu dianggap sebagai satu pengalaman dan lumrah anak seni. 

“Tidak mengapalah, walaupun menyesali apa yang berlaku, saya cuba juga lupakan dan lihat pada hikmahnya. Kalau dijelaskan lagi pada orang ramai, belum tentu orang hendak dengar dan terima.

“Apa lagi mengenai isu Marvel itu, khususnya kalangan peminat kipas susah mati Marvel, mereka tak boleh terima. 

“Itulah yang saya katakan tadi, sepatutnya saya tidak perlu buka mulut jika belum sepenuhnya dapat kata putus,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×