Baucer buku RM100 diagih secara berfasa - KPT

Baucar buku RM100 diagih secara berfasa – KPT

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan agihan baucar buku RM100 akan dibuat secara berperingkat sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, buat masa ini tumpuan khusus bagi agihan awal adalah bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Beliau berkata, kaedah pelaksanaan agihan baucar itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum boleh digunakan mulai petang ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang telah mengadakan mesyuarat di peringkat tertinggi KPT bagi memuktamadkan kaedah pelaksanaan agihan baucar buku itu.

“Beliau (Zaini) akan umumkan pendekatan dan langkah supaya pelaksanaan itu dapat disegerakan.
Barangkali juga ia (agihan baucar) akan dibuat secara berperingkat tapi buat masa ini khusus sempena PBAKL 2024,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan KPT di sini, hari ini.

Ditanya apa langkah-langkah KPT supaya baucar itu tidak disalah guna, Zambry berkata, pihaknya berharap isu berkenaan tidak lagi berlaku.

“Kita mengharapkan kisah-kisah lama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, secara umumnya, baucar itu boleh digunakan mulai petang ini dan kaedah penggunaannya akan dijelaskan menerusi kenyataan akhbar nanti.

“Saya dalam proses keluarkan kaedah penggunaan baucar itu. Ia lebih kepada kaedah dan bukan soal dapat tak dapat tapi kaedah nak dapat baucar itu,” katanya.

Ditanya berapa ramai penuntut universiti akan dapat manfaat daripada baucar itu, Zaini berkata, baucer itu akan dinikmati 1.2 juta penuntut universiti warga tempatan yang belajar di institut pengajian tinggi tempatan.

Semalam, Anwar mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini