Bakal haji pertama meninggal di Mekah

Bakal haji pertama meninggal di Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang bakal jemaah haji tanah air disahkan meninggal dunia di Mekah, Arab Saudi pada lewat Jumaat lalu disebabkan masalah pembuluh darah pecah.

Berita sedih tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

“Dukacita saya ingin memberitahu bahawa ada kes kematian yang pertama membabitkan seorang bakal jemaah lelaki dan berusia 72 tahun bernama Abnil Hajar Ismail,” katanya selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mencemar duli mengucapkan selamat jalan kepada 282 bakal jemaah di Kompleks Tabung Haji (TH).

Utusan Malaysia difahamkan, jemaah yang meninggal dunia itu berasal dari Jitra, Kedah dari kumpulan KT03 dengan menaiki penerbangan MH 8054 Malaysia Airlines pada 10 Mei lalu.

 Allahyarham Abnil dilaporkan bakal menunaikan ibadah fardu rukun Islam yang kelima itu bersama-sama isterinya sebelum mendapatkan rawatan dari sebuah hospital di Mekah.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, beliau baru sahaja mendapat khabar sedih itu dan telah bertindak segera menghubungi salah seorang anak waris yang berada di tanah air.

“Saya merakamkan ucapan takziah dan pihak TH memberi jaminan akan melaksanakan urusan badal haji kerana arwah belum lagi sempat melakukan wukuf di Arafah,” jelasnya.

Sementara itu, media dimaklumkan bahawa Allahyarham Abnil meninggal dunia ketika rawatan di King Abdullah Medical City, Mekah pukul 10.30 malam 24 Mei lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN