KUALA TERENGGANU: Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming berkata, pihaknya akan membayar kompaun RM25,000 yang dikenakan kerajaan Terengganu atas kesalahan menganjurkan `Aloha Party.’
Beliau ketika dihubungi memberi jaminan, kompaun tersebut akan dibayar sebelum tarikh akhir Rabu ini dan tidak akan membuat rayuan untuk pengurangan.
“Kami akur dengan hukuman diberikan kerajaan negeri Terengganu dan mengambil iktibar. Kompaun itu akan dibayar penuh (RM25,000) dan kami tidak akan membuat rayuan,” katanya.
Datuk Bandar Kuala Terengganu semalam memberitahu, pemilik Summer Bay Resort yang menganjurkan `Aloha Party’ tanpa permit di Pulau Lang Tengah Isnin lalu, diarah melunaskan kompaun sebanyak RM25,000 sebelum Rabu ini.
Rosli berkata, notis kompaun tersebut dikeluarkan Khamis lalu selepas mesyuarat bersama kerajaan negeri.
Menurutnya, tindakan kompaun dikenakan kerana pemilik premis didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 16(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Terengganu 2002.
Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan, pemilik Summer Bay Resort dikompaun RM25,000 oleh kerajaan Terengganu kerana menganjurkan parti liar tersebut.
Siasatan mendapati penganjuran parti tersebut tanpa permit dan melanggar Subseksyen Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Terengganu 2002. – UTUSAN








