KUALA TERENGGANU: Dua lelaki disyaki terlibat dengan kes samun membabitkan pemain Harimau Malaya, Akhyar Rashid, di hadapan sebuah kondominium di bandar raya ini, kira-kira 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek turut menggunakan besi boleh laras sebagai senjata untuk mencederakan Akhyar.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika pemain Terengganu FC (TFC) keluar dari kenderaan di parkir kondominium tersebut ketika pulang dari latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ujarnya, mangsa ternampak dua lelaki lain keluar dari sebuah kenderaan, berpakaian ‘hoodie’ berwarna gelap, penutup muka dan bersenjatakan besi boleh laras telah mengekorinya sehingga ke pintu lobi lif.
“Salah seorang suspek bertindak memukul mangsa menggunakan besi boleh laras di bahagian kepala menyebabkannya terjatuh sebelum mangsa terus dipukul di bahagian badan dan kaki.
“Mangsa kemudian bangun berlari ke hujung koridor bangunan kondominium itu manakala kedua-dua suspek mengambil beg ‘clutch’ milik mangsa di atas lantai dan melarikan diri.
“Mangsa dalam keadaan berlumuran darah telah membuat panggilan video kepada kakaknya yang berada di kondominium tersebut lalu mereka bergegas ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM4,800 selepas beg tangan dan dompet miliknya dilarikan suspek termasuk kad pengenalan dan lesen memandu.
Sebuah telefon bimbit turut diambil suspek namun berjaya ditemui semula di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Menurut Azli, hasil pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mangsa mengalami kecederaan luka sehingga menerima enam jahitan di bahagian kepala dan tapak kaki kiri.
“Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengecam wajah suspek yang bertopeng atau jenis kenderaan dinaiki suspek kerana trauma dan ketakutan ketika kejadian berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” tambah beliau. – UTUSAN










