Aiskrim kelapa Thai 'abang kuda' laris musim panas

Aiskrim kelapa Thai ‘abang kuda’ laris musim panas

MOHD Ridzuan Zakaria menunjukkan 'aiskrim kelapa Thai abang kuda' yang dijual di Kampung Pak Kancil, Setiu, Terengganu,semalam. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Atlet memanah berkuda negara, Mohd. Ridzuan Zakaria mampu meraih pendapatan sampingan lebih RM3,000 sebulan hasil jualan aiskrim kelapa Thai ‘abang kuda’ pada musim panas ketika ini.

Mohd. Ridzuan, 34, atau dikenali sebagai Mat Ju berkata, idea menjual aiskrim itu tercetus apabila negara berdepan cuaca panas yang melampau sejak kebelakangan ini.

Katanya, jualan aiskrimnya itu bergantung mengikut keadaan cuaca dan semakin laris ketika musim panas.

“Pada musim panas ini, rata-rata orang ramai mencari makanan atau minuman untuk menyejukkan tekak dan aiskrim adalah satu daripada makanan yang menjadi pilihan.

“Pada peringkat awal saya belajar membuat aiskrim kelapa Thailand ini adalah kerana isteri mengidam dan ia sukar untuk diperoleh di Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pak Kancil di sini, semalam.

Menurut Mohd. Ridzuan, susulan itu dia nekad belajar membuat aiskrim tersebut daripada kenalannya yang berasal dari negara jiran.

Katanya, hasil ilmu yang dipelajari itu, dia mula menjual aiskrim tersebut pada November tahun lalu di terminal bas dan kereta sewa di Bandar Permaisuri di sini.

“Selain terminal bas, saya juga berniaga di hadapan sekolah di Kampung Pak Kancil serta mengambil tempahan katering aiskrim di rumah terbuka mahupun pada majlis kenduri.

“Saya tidak menyangka aiskrim ini akan menerima permintaan yang memberangsangkan daripada pelbagai peringkat umur termasuk pelajar sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN