747 doktor pelatih ke hospital negeri, daerah

747 doktor pelatih ke hospital negeri, daerah

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 747 pe­gawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ditempatkan di fasiliti kesihatan seluruh negara bermula bulan ini bagi mengatasi kekurangan pegawai perubatan sedia ada.

Penempatan itu juga bertujuan memberi latihan supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal mencukupi.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, langkah itu penting supaya mereka mampu memberi perkhidmatan berkualiti dan dapat mengamalkannya dengan selamat.

“KKM memahami cabaran dihadapi petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja.

“Beberapa langkah jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

KKM turut mengarahkan Pengarah Hospital memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian pegawai perubatan siswazah (PPS) di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan.

Selain itu, KKM memutuskan untuk membuka penempatan PPS baharu bagi lantikan siri ketiga di beberapa lagi hospital selain hospital negeri.

Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS bertambah baik selepas tawaran penempatan dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lalu melibatkan 792 calon.

“Sebelum ini, KKM memutuskan penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS semakin menurun dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.

“Sehingga April lalu, KKM melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan seramai 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua,” katanya.

Bagi lantikan seterusnya, kata KKM, penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbang dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan.

Isu kekurangan petugas kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan sudah lama diperkatakan pelbagai pihak sehingga memberi ancaman kepada sektor kesihatan negara.
Malah, baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), menggesa kerajaan mengambil serius luahan petugas kesihatan dan melakukan siasatan menyeluruh mengenai isu kekura­ngan kakitangan yang sedang berlaku di hospital-hospital kerajaan ketika ini.

Ia susulan kejadian tular memaparkan gambar papan putih di sebuah fasiliti kesihatan yang memohon maaf dan memaklumkan me­ngenai kekurangan doktor.

Malah, siaran muka depan Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 1,118 doktor kontrak daripada 5,489 yang ditawarkan sebagai pegawai perubatan tetap menolak tawaran tersebut, tidak melaporkan diri dan meletak jawatan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi 529 pegawai yang menolak lantikan secara tetap dengan 559 lagi tidak melaporkan diri di fasiliti perubatan ditetapkan manakala 30 doktor kontrak meletak jawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN