68 usahawan ZPP jadi pembayar zakat

68 usahawan ZPP jadi pembayar zakat

MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kanan) menerima replika cek serahan zakat daripada wakil usahawan ZPP di majlis apresiasi usahawan zakat ZPP 2024, di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 68 orang usahawan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah membayar zakat perniagaan mereka pada tahun 2022 dan 2023 dengan jumlah pembayaran terkumpul sebanyak RM62,401.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah itu menunjukkan bahawa usaha ZPP untuk melahirkan usahawan zakat yang menjadi muzakki atau pembayar zakat telah tercapai bagi kedua-dua tahun tersebut.

Katanya, dalam usaha untuk melahirkan usahawan zakat yang berjaya, ZPP telah melaksanakan beberapa siri program pembangunan dan pemerkasaan asnaf termasuk Ummi Therapy ZPP, kursus hitung untung, kursus baiki telefon pintar, program pengendalian makanan dan program pensijilan halal sejak tahun 2021.

“Kejayaan usahawan-usahawan ZPP ini membayar zakat perniagaan secara tidak langsung membuktikan atau menunjukkan betapa efektifnya inisiatif ini dalam meningkatkan sosio ekonomi umat Islam dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya pada majlis apresiasi usahawan zakat ZPP 2024, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, program-program yang diperkenalkan ZPP bertujuan memberikan kemahiran dan pengetahuan kepada asnaf untuk membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup dan menyumbang kembali kepada komuniti.

“Hasrat utama program-program ini ialah untuk mentransformasikan asnaf daripada mustahik kepada muzakki iaitu yang berjaya mengeluarkan zakat perniagaan dengan signifikan.

“Hasil daripada program-program ini ternyata telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, usahawan zakat yang berjaya membayar zakat bukan sahaja mencapai kejayaan peribadi tetapi juga membantu mengukuhkan ekonomi komuniti.

Malah katanya, apa yang lebih membanggakan ialah, perubahan status mereka iaitu daripada penerima bantuan kepada pemberi zakat.

“Bagi usahawan zakat yang berjaya, saya juga berkeyakinan tinggi mereka amat berpotensi untuk berkembang kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana yang berdaya tahan dalam dunia perniagaan yang kian mencabar.

“Saya mengharapkan pelbagai program pembangunan dan pemerkasaan usahawan dijalankan supaya usahawan-usahawan zakat ini terus berkembang diperingkat domestik, sebelum menerokai pasaran global,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, program-program usahawan zakat itu bertepatan dengan usaha kerajaan Malaysia Madani untuk melahirkan usahawan sejajar dengan sasaran di bawah Rangka Kerja Keusahawanan NASIONAL (NEF) ke arah melahirkan 50,000 usahawan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×