KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan kenaikan kos sara hidup rakyat ketika ini, seorang peniaga ikan sanggup menjual sebanyak 4,000 ekor ikan siakap dengan harga 70 sen seekor sahaja.
Sabran Muzaffar Semlee, 28, berkata, harga istimewa yang ditawarkan itu sempena pembukaan kedai ikan baharu di Kampung Batu Hampar dekat Manir di sini pada Mac lalu.
Menurutnya, bagi mengelak kesesakan, kesemua 4,000 ekor ikan siakap itu dijual secara berperingkat bermula pukul 8 pagi tadi.
“Kita tidak mahu orang ramai berebut-rebut, jadi jualan ikan 70 sen itu dibuat beberapa sesi agar semua pelanggan boleh membelinya dengan selesa dan teratur.
“Setiap pelanggan hanya boleh membeli maksima tiga ekor sahaja ikan siakap supaya lebih adil untuk semua,” katanya ketika ditemui di jeti ikan Kampung Batu Hampar, di sini, hari ini.
Selain itu, turut dijual ialah sebanyak 2,000 ekor ikan siakap pelbagai saiz dengan harga RM15 untuk dua ekor (saiz besar) dan RM7 untuk dua ekor bersaiz sederhana.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Aziz Mamat, 60, berkata, program jualan murah seumpama itu perlu dijadikan contoh oleh peniaga lain sebagai platform berkongsi rezeki dan keuntungan dengan pelanggan.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, rakyat semakin tertekan dan sikap mulia peniaga ikan di sini yang sanggup menjual dengan harga yang murah sangat kami hargai,” katanya.
Seorang suri rumah, Hanis Huda Abdul Hamid, 32, berkata, dia datang bersama suaminya untuk membeli enam ekor ikan siakap untuk dijadikan juadah bersama keluarga mertuanya tengahari ini.
“Biasanya paling murah pun boleh dapat RM10 di pasar raya, jadi bila jiran beritahu ada jualan murah, kami suami isteri tak lepaskan peluang untuk datang membeli,” katanya. – UTUSAN










