39,362 pilih wakil rakyat Kuala Kubu Baharu

39,362 pilih wakil rakyat Kuala Kubu Baharu

PENGUNDI Kuala Kubu Baharu mahu seorang wakil rakyat yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama selepas Pilihan Raya Kecil kawasan itu, 11 Mei ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Tempoh 14 hari berkempen memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berakhir semalam dan hari ini seramai 39,362 daripada 40,226 pengundi akan membuat keputusan.

Sebanyak 18 pusat mengundi di 16 pusat daerah mengundi (PDM) dibuka di seluruh kawasan DUN tersebut melibatkan 74 saluran dan peti undi dibuka untuk menerima undian daripada pengundi yang berdaftar sehingga Mac lalu.

Terdapat dua PDM mempunyai lebih daripada satu pusat mengundi pertama iaitu Pertak melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (tapak lama) yang menempatkan jumlah pengundi paling sedikit iaitu 40 orang.

Malah, pusat mengundi di sekolah tersebut adalah paling singkat dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang berbanding tempat lain sehingga 6 petang.

Kemudian dua lagi pusat mengundi di bawah PDM tersebut ialah Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kampung Pertak dan Tadika Kemas Kampung Gerachi Jaya.

Kedua adalah PDM Bandar Utama Batang Kali yang mempunyai dua pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Batang Kali dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Utama Batang Kali.

Pengundi di kedua-dua kawasan tersebut adalah paling ramai iaitu masing-masing 3,183 dan 5,889 orang dengan jumlah keseluruhan seramai 9,072 orang yang akan mengundi melalui 15 saluran termasuk tiga untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, SJKC Rasa pula menjadi pusat mengundi bagi dua PDM iaitu Jalan Kuala Kali dan Kampung Baharu Rasa masing-masing menepatkan pengundi sebanyak 3,784 dan 1,654 orang.

Kesemua pengundi dan proses pengundian di pusat mengundi akan dibantu oleh pasukan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 760 orang.

Justeru, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak menyeru para pengundi membuat persediaan awal sebelum keluar mengundi dengan menentukan dokumen yang perlu dibawa iaitu MyKad selain membuat semakan di MySPRSemak terlebih dahulu sebelum menuju pusat mengundi.

Menurutnya, semakan awal tersebut bagi membolehkan pengundi mengenal pasti pusat mengundi masing-masing termasuk menentukan saluran dan nombor bilangan mereka.

“Kemudian hadir ke pusat mengundi seperti dicadangkan untuk mengelak kesesakan berlaku di pusat mengundi. Namun, pengundi bebas untuk mengundi dalam tempoh dibenarkan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau meninjau persediaan di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.

Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan persiapan PRK DUN itu berjalan lancar dengan semua ketua pusat mengundi sudah diberi taklimat menjelang hari mengundi, esok. 

“Setiap semakan dilakukan hari ini bertujuan memastikan semua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas yang dilantik pejabat pengurus pilihan raya juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang mungkin timbul esok,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekiranya terdapat pihak yang melakukan sebarang perkara bertentangan dengan undang-undang tersebut.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada pukul 11.59 minit malam, 10 Mei (Jumaat) dan menghentikan sebarang aktiviti kempen di luar pusat mengundi termasuklah saluran media sosial.

“Penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan. Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam saluran,” jelasnya.

Tambahnya, para majikan turut diingatkan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN