PUTRAJAYA: Sejumlah 3,308 buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) atau meliputi 33 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya adalah sekolah rendah sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah vernakular terutama di kawasan luar bandar yang berkapasiti 150 orang murid.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh mengesahkan tiada sekolah jenis itu yang ditutup di seluruh negara setakat ini, malah institusi pendidikan itu terus diperkasa untuk kesejahteraan golongan pendidik dan setiap murid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kewujudan sekolah kurang murid ini yang meliputi lebih satu pertiga daripada jumlah sekolah kementerian memberi satu kerugian sekali gus menunjukkan tiada keberkesanan dalam sistem pendidikan negara.
Ini kerana menurut beliau, sekolah jenis ini tetap perlu diberikan peruntukan besar sekitar RM38,000 walaupun bilangan murid tidak melebihi 150 orang sedangkan ada sekolah terlalu padat dan sesak yang memerlukan peruntukan lebih tinggi.
“SKM ini menunjukkan ketidakcekapan dari segi merancang pendidikan, kita tidak membuat unjuran tepat, akhirnya berhadapan isu SKM ini yang mana kita tidak boleh menutup sekolah ini kerana boleh menimbulkan isu lain.
“Masalah SKM ini serius dan perlu diberikan lebih perhatian daripada sebagaimana penyelesaian isu sekolah daif dengan memastikan peruntukan dan sumber manusia dalam kalangan guru-guru itu dapat kita salurkan ke sekolah yang menghadapi masalah kepadatan tinggi dan kekurangan guru kritikal,” katanya di sini, semalam.
Anuar berkata, Kementerian Pendidikan perlu melihat penyelesaian jangka panjang dari segi pembinaan sekolah ini, tidak boleh terlalu besar dari segi pembinaan bangunan sebagaimana diamalkan di negara-negara maju.
Katanya, satu pasukan petugas khas perlu dibentuk untuk mencari penyelesaian dengan melihat bagaimana dapat mengurangkan jumlah SKM ini dan melihat semula reka bentuk bangunan sekolah rendah pada masa depan supaya menjadi lebih dinamik.
Pada masa sama, katanya, kaedah lain boleh diambil seperti menggabungkan murid-murid ke sekolah berdekatan dan menempatkan mereka di asrama, manakala ruang bangunan sekolah sedia ada boleh dioptimumkan untuk tujuan lain berkaitan pendidikan seperti mewujudkan pusat kegiatan guru atau pusat aktiviti masyarakat.
“Kalau kita masih kekal dengan budaya sekarang ini, kita akan menyaksikan jumlah SKM ini akan bertambah lagi pada masa depan dan bilangan murid boleh menurun sehingga ke 150 orang akibat migrasi penduduk,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, isu SKM ini sukar untuk diselesaikan memandangkan kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan ia tidak boleh ditutup berdasarkan dasar pendidikan wajib diberikan kepada setiap warganegara.
Bagaimanapun, katanya, apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengintegrasikan sekolah berdekatan antara sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan dengan menawarkan subjek tambahan bahasa di sekolah itu.
“Misalnya ada SKM ini melibatkan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di estet, jadi kita integrasikan sekolah ini dengan memindahkan murid ke sekolah kebangsaan yang berdekatan tetapi menawarkan tambahan subjek bahasa Tamil di sekolah itu.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan perlu menetapkan setiap pembinaan perancangan bandar baharu perlu ada sekolah mengikut anggaran keperluan penduduk supaya tidak berlaku kepadatan murid di sekolah sedia ada.
Katanya, mana-mana bangunan lama yang tidak produktif di sekolah-sekolah padat boleh dirobohkan dan dinaikkan bangunan bertingkat lebih tinggi bagi menampung keperluan kelas. – UTUSAN










