IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 30 hari bermula 4 November ini bagi perbicaraan kes bunuh pelajar lelaki tingkatan lima dihadapi seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan kes ke atas Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.
Tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan adalah pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November; 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.
Mahkamah turut menetapkan 1 Julai depan untuk kedua-dua pihak menyerahkan afidavit masing-masing.
Terdahulu, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Bhupindar Singh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pertuduhan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M. Kuhan.
Turut hadir, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Yasmin Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif.
Terdahulu, Afzainizam memberitahu, mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa kira-kira sebulan untuk memuktamadkan senarai saksi sebelum dokumen itu diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Saya perlu meneliti dokumen-dokumen kerana dalam kes ini, ia melibatkan lebih kurang 60 saksi termasuk saksi pakar,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.
Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Suspek dikatakan telah mengejar motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Berdasarkan laporan bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya. -UTUSAN










