PETALING JAYA : Polis menyita 16 motosikal selepas didapati membuat pengubahsuaian selain tiada lesen memandu serta cukai jalan yang sah dalam Op Penguatkuasaan, awal pagi ini.
Sitaan dibuat dalam operasi bermula kira-kira pukul 1 pagi di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Tambahan, Ampang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, seramai 15 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya terbabit dalam operasi.
Menurutnya, pemeriksaan dan penahanan secara rambang dilakukan dengan memfokuskan kepada kenderaan yang melakukan pengubahsuaian keterlaluan pada bahagian tertentu dan penunggang yang berpotensi melakukan aksi berbahaya.
“Hasil pemeriksaan seramai 32 individu diperiksa bersama 27 kenderaan.
“Sebanyak 66 saman dikeluarkan atas kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, mengubah suai ekzos serta kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, sebanyak 16 motosikal disita kerana kesalahan pengubahsuaian ekzos dan penunggang tiada lesen memandu sah.
Beliau berkata, kesemua motosikal disita dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama,” jelasnya. – UTUSAN










