BUKIT MERTAJAM : Seramai 197 pesakit di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) seluruh Pulau Pinang menerima khabar gembira menjelang Aidilfitri ini apabila bakal menerima ‘duit raya’ sebanyak RM500 tiap seorang.
Difahamkan, pengagihan ‘duit raya’ atau Saguhati Khas Aidilfitri untuk pesakit berkenaan julung kalinya dilakukan bagi membantu mereka dan keluarga masing-masing dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, wang sagu hati itu telah diluluskan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM98,500.
“Semalam, kita (kerajaan negeri melalui ZPP) beri bantuan kepada fakir dan miskin. Hari ini pula kita bagi kepada pesakit buah pinggang (yang menjalani rawatan dialisis) dan pemberian bantuan ini akan diteruskan pada masa depan,” katanya di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.
Terdahulu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluangkan masa menyantuni pesakit-pesakit yang dirawat di PHZ Permatang Rawa di sini dan menyerahkan sumbangan sagu hati berkenaan bersama hamper hari raya kepada mereka.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, PHZ telah diwujudkan sejak 2001 dan merupakan projek agihan ZPP yang menawarkan perkhidmatan rawatan hemodialisis kepada asnaf yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang peringkat akhir.
“Sehingga kini, PHZ mempunyai lapan cawangan di seluruh Pulau Pinang yang memberikan rawatan percuma kepada 197 orang pesakit tanpa penajaan dari mana-mana agensi atau syarikat takaful,” katanya.
Tambah beliau, pesakit yang menerima rawatan di semua cawangan PHZ merupakan asnaf kategori fakir, miskin dan ghorimin.-UTUSAN







