PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengaktifkan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) bagi penyelarasan operasi menyelamat helikopter terhempas di Lumut, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, KLARCC diatifkan pada pukul 10.20 pagi tadi bagi penyelarasan operasi menyelamat insiden helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan oleh pihak TLDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, TLDM mengesahkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter terhempas sehingga menyebabkan 10 kru maut, pagi tadi.
TLDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada 9.32 pagi tadi.
Katanya, insiden itu melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM. – UTUSAN










