Tipu kerja:Kerajaan soal siasat ‘mangsa’ sindiket, cari dalang

Tipu kerja:Kerajaan soal siasat ‘mangsa’ sindiket, cari dalang

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited mencari dalang dalam sindiket penipuan pekerjaan bagi memastikan tiada lagi rakyat Malaysia yang terperangkap dalam penipuan di luar negara itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari luar negara akan disoal siasat oleh pihak berkuasa sejurus mereka tiba di Malaysia bagi menentukan penglibatan mereka dalam sindiket penipuan pekerjaan.

Kata beliau, tindakan tegas akan diambil oleh pihak kerajaan sekiranya terdapat bukti kukuh yang menunjukkan mereka adalah dalang dan bukannya mangsa berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Terdapat Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang berkuat kuasa. Mereka yang didakwa di bawah Akta ini boleh disabitkan dengan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun atau denda.

“Setakat ini empat warganegara Malaysia telah didakwa kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan ini di Peru, pada tahun 2023,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin mengetahui langkah diambil kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terbabit dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan lain-lain negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, punca utama rakyat Malaysia tertarik dengan tawaran pekerjaan di luar negara adalah antaranya kerana gaji lumayan yang ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya AS$2,000 atau lebih RM9,000.

“(Ini termasuk) elaun tinggi, kemudahan lengkap yang dijanjikan seperti tambang penerbangan dan penginapan serta kebebasan berjudi secara pinjaman.

“Rata-rata mangsa terdiri daripada warganegara Malaysia yang kurang berpendidikan, hidup susah dan mempunyai masalah rekod jenayah sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang cadangan untuk Malaysia mewujudkan akta baharu bagi mencegah sindiket penipuan pekerjaan itu amat dialu-alukan.

“Walau bagaimanapun ia bukan di bawah Kementerian Luar Negeri, tetapi ia di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri,” katanya. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN