KULAI: Seorang pengarah syarikat swasta kerugian sebanyak RM399,600 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket yang menawarkan tender pembekalan katil secara dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Polis Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki Cina warga tempatan berusia 47 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kelmarin.
Menurutnya, mangsa mendakwa tertarik dengan tawaran tender pembekalan 270 unit katil yang menjanjikan keuntungan lumayan selepas pembayaran dibuat terlebih dahulu.
“Mangsa dijanjikan keuntungan apabila katil berkenaan diperoleh dan ditebus, menyebabkan dia yakin serta bersetuju untuk menyertai urusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM399,600 ke dalam dua akaun bank tempatan pada hari yang sama sebelum menyedari dirinya telah ditipu.
Tambahnya, selepas pembayaran dibuat, mangsa melakukan semakan dengan pihak berkaitan dan mendapati tender pembekalan katil tersebut sebenarnya tidak wujud.
“Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu melibatkan pelaburan atau tawaran tidak wujud,
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atau perniagaan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat. – UTUSAN










