PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya tiga buah kilang pemprosesan tayar terpakai didapati beroperasi secara mencurigakan tanpa mengikut prosedur pengoperasian dan peraturan betul dikesan di sekitar Kulai, Johor.
Kewujudan kilang-kilang terbabit dikhuatiri boleh mengundang satu lagi pencemaran alam sekitar di negeri berkenaan selepas berlaku isu pencemaran sungai Kim-Kim di kawasan Pasir Gudang sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 buah sekolah di daerah itu ditutup ekoran pembuangan sisa toksik.
Berdasarkan siasatan Utusan Malaysia kira-kira tiga bulan lalu ke atas ketiga-tiga kilang itu, ia didapati beroperasi secara bersembunyi bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila kawasan kilang tanpa nama ini bertutup dan berkunci dikelilingi zink, jika dilihat dari luar.
Ia seolah-olah tidak ada sebarang aktiviti dijalankan di sebalik pagar bertutup di kawasan seluas kira-kira satu hingga dua hektar.
Semakan mendapati, kebanyakan kilang industri itu beroperasi tanpa lesen atau menggunakan lesen yang berbeza dengan operasi sebenar memandangkan banyak prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi.
Kilang proses tayar terpakai itu perlu ditempatkan dalam kawasan industri berat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menetapkan kilang-kilang industri berkenaan perlu berada dalam zon Rancangan Tempatan Daerah (RTD).
PBT kemudian akan menilai permohonan setiap lesen dengan sokongan daripada jabatan atau agensi berkaitan melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meneliti Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) ke atas kilang-kilang tersebut mengikut syarat standard piawaian ketat.
Kebenaran daripada Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) juga perlu diperoleh sebelum mendapat Sijil Kelayakan untuk Reaktor Pirolisis.
Pengoperasian kilang tayar terpakai itu juga adalah satu daripada bahan buangan berisiko kerana mengandungi toksik jika tidak dikendalikan dengan betul. Tindakan penyimpanan, pembuangan, pembakaran tayar yang tidak terurus boleh menyumbang kepada pencemaran selain pembiakan nyamuk aedes.
Pemprosesan tayar terpakai yang disebut pirolisis menjadi sumber pendapatan lumayan kepada pengusaha untuk menghasilkan produk minyak berharga sebagai bahan api dan gas untuk penjanaan tenaga. Karbon hitam dan hasil sampingan pirolisis boleh digunakan dalam pelbagai industri.
Bahan wayar keluli yang terdapat dalam struktur tayar juga menjadi satu sumber bahan berasingan bagi penghasilan pelbagai produk industri berkaitan.
Bagi mengesahkan aktiviti itu, tinjauan dari udara dilaksanakan menerusi dron ke atas kilang pertama tanpa nama pada 22 Februari lalu di sebuah lokasi kawasan perindustrian di Jalan Kulai. Kedudukan kilang ini adalah paling belakang kawasan itu kira-kira 200 meter dari jalan luar.
Longgokan ribuan tayar terpakai dapat dilihat bersepah di tempat terbuka tanpa berbumbung yang secara jelas mengakibatkan takungan air ketika waktu hujan.
Keadaan persekitaran didapati kotor, berdekatan dengan dua lagi kilang lain, tidak kelihatan penggunaan sistem boiler untuk pembakaran dan sistem kawalan pencemaran udara seperti disyaratkan JAS dan JKKP.
Tinjauan terhadap kilang kedua juga tanpa nama turut dilakukan pada tarikh sama. Lokasi kilang ini dalam jarak 20 kilometer dari kilang pertama menghala Jalan Senai-Ulu Tiram tidak jauh dari lapangan Terbang Senai.
Kedudukannya adalah di tepi jalan dan jika dilihat dari luar, ia nampak terbiar dipenuhi semak dan pagar tertutup dan berkunci. Bagaimanapun, tinjauan menerusi dron mendapati berlaku aktiviti di dalamnya apabila kelihatan beberapa pekerja sedang melakukan kerja.
Kedudukan kilang ini adalah memanjang dan dipercayai menggunakan tanah secara haram untuk menyimpan sisa-sisa buangan tayar. Timbunan tayar dilonggokkan tidak bertutup sekali gus membenarkan pembiakan nyamuk aedes.
Sisa-sisa karbon hasil pembakaran tayar ini diletakkan dalam guni-guni putih yang tidak bertutup. Tiada sistem kawalan pencemaran udara digunakan untuk pemprosesan kilang ini.

alam sekitar dan boleh mengakibatkan pembiakan nyamuk.
Terdapat parit di sisi kilang tersebut yang mana apabila waktu hujan akan melarutkan sisa-sisa karbon itu seterusnya boleh membawa sisa-sisa buangan ke dalam parit. Kelihatan pokok-pokok sawit berdekatan mati dan sebahagian kawasan ladang menjadi hitam yang dipercayai akibat pembakaran dari boiler yang tidak mengikut prosedur betul.
Tinjauan seterusnya dilaksanakan ke atas kilang ketiga yang ada tertera nama syarikat. Modus operandi kilang ini hampir sama dengan kedua-dua kilang tersebut. Kedudukan kilang ini beroperasi di tepi jalan Seelong-Senai dan berdekatan dengan kilang kedua dalam jarak kira-kira 3 kilometer.
Dari pengamatan luar juga mendapati ia bertutup serta berhampiran ladang kelapa sawit dan berdekatan penempatan penduduk kira-kira 5 kilometer.
Timbunan tayar tanpa bumbung kelihatan dengan keadaan kilang yang kotor dan sisa karbon tidak terurus. Terdapat empat buah mesin boiler yang beroperasi tanpa sistem kawalan pencemaran udara menyalahi syarat kelulusan JAS dan JKKP.
Tinjauan menerusi dron ke atas ketiga-tiga kilang itu sekali lagi dibuat iaitu 28 Mac lalu dan mendapati mereka masih menjalankan aktiviti walaupun aduan telah dibuat kepada agensi-agensi berkaitan pada Oktober tahun lalu, namun kilang-kilang berkenaan masih lagi beroperasi seolah-olah tiada tindakan diambil.
Proses permohonan kebenaran beroperasi perlu dipatuhi kilang-kilang industri ini demi kelestarian alam sekitar di negara ini. Kekangan dari segi masa, kewangan, teknikal dan faktor utama sifat tamak penjenayah alam sekitar ini mengaut keuntungan berlebihan dan tidak mengendahkan undang-undang menyebabkan kilang-kilang haram ini berleluasa.
Bukan sahaja isu pencemaran yang boleh mengakibatkan keselamatan nyawa penduduk, malah kewujudan kilang haram ini boleh mengakibatkan kerugian kepada kerajaan kerana mereka tidak membayar cukai berkaitan.
Berdasarkan siasatan, sumber pirolisis hasil pemprosesan tayar terpakai daripada ketiga-tiga kilang itu mampu mengutip keuntungan hampir RM2.5 juta sebulan atau sekurang-kurangnya RM27 juta setahun. Ketiga-tiga kilang ini dipercayai sudah beroperasi lima tahun lalu. – UTUSAN










