'Tiada miskin tegar di Kampung Melayu'

‘Tiada miskin tegar di Kampung Melayu’

SALIM Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama Ahmad Fuzi (tengah) dan Mohd. Nasir (dua dari kanan) ketika pengagihan Bakul Rahmah sempena sambutan penutup Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Melayu di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tidak ada golongan miskin tegar yang tinggal di Kampung Melayu, Air Itam di sini ketika ini kerana hal ehwal kebajikan mereka sering diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan.

Penasihat Yayasan Global Mesra Sdn. Bhd., Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, sebagai anak jati Kampung Melayu, beliau juga bertanggungjawab untuk membantu penduduk di situ keluar daripada belenggu kemiskinan yang mencengkam mereka selama ini.

Katanya, tanggungjawab itu selaras dengan sasaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat jumlah miskin tegar di Pulau Pinang dapat disifarkan menjelang Jun ini.

“Tidak ada miskin tegar di sini (Kampung Melayu). Saya sentiasa beri bantuan kepada mereka. Kadang-kadang mereka ini tak mampu untuk bayar bil elektrik, bil air dan sebagainya. Saya buat pejabat khas untuk mereka buat aduan juga.

“Untuk pengetahuan, bukan di Kampung Melayu sahaja, di seluruh Malaysia juga kami (Yayasan Global Mesra) bantu. Kami bagi Bakul Rahmah di setiap kawasan Parlimen. Semua dapat, insya-Allah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa sambutan penutup Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Melayu yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Pengerusi Yayasan Global Mesra, Datuk Mohd. Nasir Mohd. Rashid serta beberapa kenamaan lain.

AHMAD Fuzi Abdul Razak (duduk, tengah) ketika menghadiri sambutan penutup Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Melayu di George Town, Pulau Pinang

Acara tahunan yang dianjurkan secara bersama oleh Yayasan Global Mesra dan Pertubuhan Hijrah Madani itu diadakan selama tiga hari bermula pada Hari Raya Ketiga dan ia mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri oleh lebih 25,000 pengunjung.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah, pengunjung khususnya penduduk Kampung Melayu turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan, Pertandingan Pakaian Beragam, Pertandingan Lagu-Lagu P. Ramlee, Persembahan Karaoke serta pelbagai hadiah cabutan bertuah yang istimewa.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk mengagihkan sehingga 200,000 lagi Bakul Rahmah sehingga hujung tahun ini bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada pengagihan bantuan berkenaan.

“Alhamdulillah, tahun lepas kita dah capai target (pengagihan Bakul Rahmah) iaitu hampir 200,000 dan tahun ini kita target untuk agih lagi 200,000 Bakul Rahmah kepada semua,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN