Tiada lagi kelibat helikopter Fennec di ruang udara Bukit Kepong - Rakan - Utusan Malaysia

Tiada lagi kelibat helikopter Fennec di ruang udara Bukit Kepong – Rakan

SHAHRIL Tukiman (berdiri dua dari kiri belakang) bergambar raya terakhir bersama Mohamad Amir Mohamad (paling kanan berbaju biru) dan rakan-rakan sekampung pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Felcra Bukit Kepong, Segamat baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Tiada lagi kelibat helikopter Fennec lalu di ruang udara kampung kami Bukit Kepong selepas ini.”

Itulah luahan Shahril Tukimin, 42, salah seorang rakan Komander Mohamad Amir Mohamad, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam.

Dia mengenali Mohamad Amir sejak kecil dan turut belajar di sekolah yang sama dari sekolah rendah hingga menengah.

“Saya masih ingat, setiap kali dia perlu melintas ruang udara kampung kami, dia akan hantar mesej dalam kumpulan WhatsApp memberitahu akan terbang tidak lama lagi. Kami berasa teruja dan berlari keluar di pekarangan rumah untuk merakam video dan melambai ke arahnya yang berada di ruang udara menaiki Fennec yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Saat itu kami rakan-rakan sekampung berasa bangga mempunyai sahabat yang berjaya sebagai pegawai tinggi dalam TLDM. Selepas ini, kami akan merindui kelibat helikopter Fennec dan sudah semestinya tiada lagi mesej daripadanya memberitahu akan melintasi ruang udara kampung kami,” katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong, dekat sini hari ini. 

Shahril yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini memberitahu, kali terakhir bertemu Mohamad Amir pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. 

“Masih segar dalam ingatan saya dua hari sebelum Aidilfitri, kami duduk bersembang di Kedai Bujal di kampung kami. Selepas itu, kami ke Kedai Kutat, warung menjual makanan sambil sama-sama bergotong-royong memasak kari kambing untuk moreh.

“Meriah suasana hilai tawa bersama rakan-rakan dengan Amir. Tambahan, ayah Amir turut serta makan roti cicah kari kambing yang kami masak,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu isterinya, Suhana Surahmat, 42, berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi Shahril dan Allahyarham Mohamad Amir untuk bertemu dua tahun sekali sewaktu sambutan Aidilfitri.

“Pagi raya selepas solat seperti biasa, suami saya, Amir dan rakan-rakan mereka akan berkumpul bergambar di tempat biasa mereka mengambil gambar, iaitu di bangsal simpanan peralatan memasak sebelah Masjid Jamek Felcra Bukit Kepong.

“Selesai mengabadikan gambar kenangan, mereka bersalaman dan beraya bersama keluarga masing-masing. Apabila mengetahui Amir terlibat dalam nahas semalam, tangan suami menggigil kerana terlalu terkejut. Semasa mula tengok video nahas itu dia tidak rasa apa-apa tetapi selepas rakan-rakannya kongsi dalam WhatsApp’ barulah kami semua tahu Amir terlibat dalam nahas itu,” katanya.

Mohamad Amir merupakan Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM dan juga juruterbang pesawat Fennec yang terlibat dalam nahas mengorbankan 10 orang anggota tentera TLDM ketika raptai latihan sempena Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak bersama Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN